Sunday

.:Minggu ke-10 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Meneliti tugasan-tugasan semester lepas, tiba-tiba saya terjumpa topik ini, yang saya kira boleh dikongsi bersama-sama dengan pembaca sekalian. Hasil tugasan di semester pertama yang mungkin ada terlebih dan terkurang :) Topik berkisar tentang 'Peranan Ibu Bapa dalam masalah ketidakstabilan emosi kanak-kanak'. Seperti yang kita ketahui, ibu bapa sangat memainkan peranan yang penting dalam pembentukan perkembangan kanak-kanak. Hal ini kerana, proses pendidikan pertama adalah bermula dari rumah. Jadi, peranan ibu bapa dalam memahami masalah ketidakstabilan emosi kanak-kanak adalah penting sebagai salah satu elemen penting yang memperlengkap perkembangan keseluruhan kanak-kanak.

Justeru itu, terdapat beberapa usaha boleh dijalankan untuk mengatasi masalah ketidakstabilan emosi kanak-kanak. Antaranya adalah dengan memahami proses perkembangan emosi kanak-kanak dengan lebih mendalam. Secara tidak langsung kita dapat mengetahui perubahan emosi kanak-kanak mengikut tahap umur dan perkembangan mereka. Penelitian menyatakan bahawa bercerita adalah cara terbaik dalam mendidik emosi dan perasaan anak, khususnya jika cerita itu disampaikan dengan gaya bahasa yang diminati dan difahami olehnya. Hal ini seterusnya dapat membina keperibadian kanak-kanak yang baik sekiranya baik intipati yang disampaikan hasil daripada wujudnya suasana yang baik serta tauladan yang baik terhadap kanak-kanak. Hal ini dapat membentuk kanak-kanak daripada acuan yang baik akhlaknya.

Dalam beberapa situasi yang kita lihat, dapat kita rumuskan bahawa kanak-kanak memiliki emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Mereka sangat sensitif dan mudah menangis apabila ditegur dengan nada yang kasar seperti dimarahi oleh bapa. Seterusnya, emosi mereka turut berubah apabila diberi pujian setelah berjaya menyelesaikan sesuatu perkara lebih-lebih lagi dalam bidang akademik. Oleh itu, ibu bapa perlu bijak menggunakan cara yang lebih diplomasi. Contohnya menegur dengan nada yang berhikmah tetapi tegas. Boleh juga diselitkan dengan pengajaran-pengajaran daripada cerita-cerita kanak-kanak.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mengamalkan didikan secara positif yang lebih bersifat autoritatif. Hal ini dapat menggalakkan kanak-kanak untuk berdikari tetapi masih diberi kawalan dalam setiap tingkahlaku mereka. Kanak-kanak yang diasuh dengan corak ini menjadi lebih terbuka dengan sedia dan berani memberi pandangan, meluahkan perasaan serta berkongsi cerita dengan ibu bapa. Secara tidak langsung konsep ‘memberi dan menerima’ daripada pihak ibu bapa dan anak-anak dapat diamalkan dimana kanak-kanak bersedia bercerita apa sahaja manakala ibu bapa memainkan peranan menjadi pendengar serta memberi nasihat dan pengajaran.

Oleh itu, peranan ibu bapa sangat penting dalam pembentukan sosial dan emosi secara didikan yang holistik untuk mewujudkan peluang perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak yang baik. Seharusnya peranan ini tidak diambil enteng kerana anak-anak merupakan modal insan untuk melahirkan generasi akan datang.

Wallahua'lam. wassalam :)