Friday

.:Minggu ke-6 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Alhamdulillah, permulaan hari yang ceria dan lebih bersemangat, berbanding minggu lalu :).

Kuliah minggu ini berkenaan 'Managing and Developing a Team'. Apa yang saya perolehi daripada kuliah kali ini adalah berkaitan penubuhan sebuah pasukan yang bernaung di bawah bumbung yang sama memerlukan penyusunan hierarki dan struktur organisasi serta komitmen majikan dan kakitangan di dalamnya. Perkara-perkara ini menjadi prioriti dalam membina sebuah pasukan yang lebih sistematik pengurusannya.

Dalam membincangkan pengurusan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak sama ada Tadika atau Taska atau apa sahaja pusat penjagaan kanak-kanak, seorang pengurus perlu menitik beratkan sistem hierarki sesebuah organisasi. Hal ini termasuklah dalam bidang atau cabang kerja yang dilakukan oleh setiap kakitangan terlibat. Pengkhususan kerja bagi jawatan tertentu ini akan melicinkan perkembangan perusahaan yang dijalankan. Selain itu, untuk mewujudkan sesebuah perusahaan pusat penjagaan ini, struktur organisasi perlulah dirancang dan direka bentuk meliputi plan tindakan, matlamat utama, peraturan dan polisi, hak dan tanggungjawab kakitangan serta tahap pengurusan sama ada peringkat atasan atau bawahan. Komitmen majikan dan kakitangan pula melibatkan bagaimana individu-individu di dalam sesebuah perusahaan berinteraksi dan membina hubungan interpersonal. Hal ini diwujudkan melalui satu budaya yang dibentuk dan mampu diterima umum. Selain itu, interaksi sosial yang positif juga mampu membina semangat kerja dalam pasukan serta mewujudkan komunikasi terbuka dan berkesan dalam kalangan ahli perusahaan sama ada pihak atasan mahupun bawahan.

********************
Rentetan daripada kuliah ini, pensyarah meminta kami menjalankan perbincangan dalam kumpulan terhadap tugasan kedua kami dengan membina satu carta organisasi (hierarki) perusahaan yang ingin kami jalankan. Hasil perbincangan ini kami telah merangka satu struktur organisasi yang bermula dengan Pengarah/Pengetua, Lembaga Pengarah, Penyelia Tadika, Penyelia Transit, guru-guru untuk kelas kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, serta dibantu oleh pembantu guru dan penjaga-penjaga bagi kanak-kanak transit. Terdapat juga kakitangan sokongan yang melibatkan tukang masak dan tukang cuci. Kami juga telah membuat draf tugasan bagi setiap bidang kerja/jawatan yang dipegang. Kami juga sepakat membuat perancangan jangka masa pendek bagi pengelolaan di awal perusahaan, di mana terdapat beberapa bidang tugas yang perlu diambil oleh kakitangan yang sama disebabkan kekurangan ahli sebelum kami bergerak mencari pekerja baru. Kami juga telah merancang untuk mengadakan temuduga bagi pengambilan pekerja baru berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

*Hasil perbincangan ini, saya berpuas hati dengan idea dan pandangan rakan-rakan, banyak benda baru yang saya pelajari di sini. Hal ini semua menjadi satu pengalaman dan pengetahuan baru untuk saya. Secara jujurnya, dalam membincangkan skop bidang tugasan setiap kakitangan, saya akui berlaku sedikit kesamaran atau kekeliruan yang berlaku di pihak saya, namun begitu, penjelasan daripada rakan-rakan sekumpulan serta pensyarah membantu mengatasi masalah ini, alhamdulillah. Terima kasih buat rakan-rakan, KAK NILAM, TIMAH, KILLA, TIM dan pensyarah PUAN PUTERI :)

~Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan~

Sekian, sampai di sini dulu, wassalam.


Thursday

.:Minggu ke-5 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Salam ceria semua :)
Moga-moga kita semua masih mampu tersenyum menghadapi apa jua situasi kehidupan ini, insyaAllah!

Minggu ini, saya terasa sedikit teruji, mungkin atas kelemahan jiwa ini saat diuji dengan sesuatu yang tak terduga, NAMUN perlu positifkan diri dengan kata-kata ALLAH SELALU ADA, InsyaAllah segala yang datang daripadaNya pasti ada hikmah meskipun kadangkala kita sendiri tidak mampu untuk menyingkap hikmah tersembunyi, wallahua'lam.

********************
Baru-baru ini, sewaktu mencari bahan-bahan untuk tugasan kursus tertentu, saya terjumpa beberapa bahan bacaan (artikel) yang serasanya bersesuaian dan bertepatan dengan bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Dalam post yang lepas, saya ada membincangkan isu tentang kezaliman, ketidakadilan yang berlaku terhadap kanak-kanak
masa kini. Jadi, ingin saya kongsikan sedikit ilmu, moga-moga menjadi renungan dan iktibar kita bersama.

'Peranan Keibubapaan : Gaya Asuhan/Didikan Terbaik ?'

"Mengapa peranan ibu bapa dikatakan terpenting dan utama dalam pendidikan seseorang anak ? "

Ya, pendidikan seorang anak sememangnya bermula di rumah iaitu dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jadi ibu bapa lah golongan yang akan memainkan peranan penting dalam institusi ini tidak kiralah dalam aspek apa sekalipun sama ada jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial (JERIS). Apa jua perlakuan, perkataan pertama anak-anak di'cedok' daripada pendidikan di rumahnya. Jadi, tidak hairanlah jika kita katakan sekiranya contoh baik yang diterapkan oleh orang dewasa (ibu bapa dan ahli keluarga), maka baiklah jugalah amalan dalam tingkah laku dan pertuturannya (kanak-kanak).

"Namun, bagaimana untuk kita merealisasikan konsep peranan keibubapaan dalam gaya asuhan yang efektif ini ?"

Ibu bapa merupakan sebaik-baik contoh kepada anak-anak. Ibu bapa mestilah mempunyai ilmu pengetahuan tentang gaya asuhan atau didikan kanak-kanak yang fleksibel tetapi bersesuaian, seterusnya peka terhadap corak perkembangan kanak-kanak sejak di awal usia lagi, strategi pendidikan yang bersesuaian, strategi pengubah suaian tingkah laku kanak-kanak dan seterusnya pengetahuan ini dijadikan sebagai satu garis panduan dalam mempengaruhi dan mencorak perkembangan terbaik anak-anak. Hubungan yang erat diantara ibu bapa dan anak-anak juga merupakan faktor penting dalam membina perapatan, kasih sayang dan keserasian untuk berkongsi apa jua cerita, idea mahupun pandangan tidak kiralah sama ada di pihak kanak-kanak mahupun ibu bapa itu sendiri. Menerusi pembacaan saya, kanak-kanak yang lebih rapat dengan ibu bapanya serta mendapat kasih sayang dan perhatian yang sepenuhnya akan menunjukkan tingkah laku yang baik berbanding yang sebaliknya (mereka lebih suka memberontak, cepat marah, sensitif dan lain-lain sikap yang negatif yang ditonjolkan).

Sedikit perkongsian tentang gaya asuhan/didikan oleh ibu bapa;

1. Autokratik
Ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan ini lebih mengamalkan konsep komunikasi satu hala di mana autoriti terletak sepenuhnya kepada ibu bapa. Anak-anak sekadar mendengar dan dikehendaki mematuhi setiap arahan yang diberikan. Gaya asuhan ini lebih bersifat rigid tanpa mengambil kira hak dan perasaaan kanak-kanak. Di sini, wujudnya, implikasi negatif berikutan gaya asuhan ini iaitu kanak-kanak lebih mudah memberontak, menjadi pendiam serta terbantut perkembangan dan potensi dirinya.

2. Demokratik
Gaya asuhan ini adalah lebih fleksibel kerana ia mengamalkan konsep dua hala, yang mana ia memberi peluang kanak-kanak dan ibu bapa saling berinteraksi serta mewujudkan perhubungan yang harmoni dan sihat dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kanak-kanak juga bebas melakukan aktiviti dan perkara yang diminati namun mendapat bimbingan dan kawalan daripada kedua-dua ibu bapanya.

3. Kontigensi
Gaya asuhan ini juga fleksibel di mana ia boleh berubah mengikut keadaan. Untuk sesuatu situasi tertentu, ibu bapa akan menggunakan autoritinya dalam penjagaan dan pendidikan anak-anak manakala dalam sesuatu situasi lain pula, kanak-kanak diberi peluang untuk bebas meneroka dunianya. Namun begitu, kadangkala wujud kepincangan di antara autoriti ibu bapa yang harus dituruti oleh kanak-kanak dalam keadaan terpaksa serta had kebebasan yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak kerana dikhuatiri akan kejadian yang tidak diingini.

*Jadi, sebagai ibu bapa atau bakal ibu mahupun bapa, gaya asuhan yang manakah menjadi panduan dan amalan kita kelak ? Jujurnya, sebagai bakal ibu (insyaAllah, dalam masa beberapa bulan lagi :)), saya melihat adanya pro dan kontra untuk setiap gaya asuhan ini. Ibu bapa perlu bijak dalam memilih dan mengaplikasinya dalam pendidikan anak-anak di rumah. Hal ini kerana, semua ini akan mempengaruhi corak perkembangan dan tingkah laku kanak-kanak yang baik serta bersesuaian dengan kehendak ibu bapa, guru, masyarakat setempat dan rakan-rakan sebayanya. InsyaAllah, saya juga dalam proses mempersiapkan diri menjadi seorang ibu yang baik dengan memantapkan ilmu keibubapaan. Terdetik di fikiran ini, bukan senang untuk menjadi ibu/bapa, meskipun secara realitinya kita tahu tentang teorinya, namun secara amalinya? Buktinya, tidak ramai ibu bapa yang berjaya dalam mendidik generasi baru masa kini, dengan masalah kepincangan akhlak dan masalah sosial yang terus berluasa. Na'uzubillahi min zalik!

Sedang anak itu merupakan amanah Allah yang bakal dipertanggungjawabkan kelak. Namun begitu, masih belum terlambat untuk kita bakal pendidik (ibu bapa dan guru) untuk mencorak generasi mendatang. Meskipun cabaran itu pasti ADA..

Teringat kata-kata saidina Ali r.a : "Didiklah anak-anakmu supaya mereka boleh hidup di zaman yang amat berlainan sekali dengan zamanmu"

wallahua'lam
wassalam

.:Minggu ke-5 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum semua :)

Alhamdulillah wa syukrulillah, dengan kesihatan yang kurang mengizinkan ini dapat juga gagahkan diri untuk menaip 'diari hati' ini. Sebenarnya baru pulang daripada perjalanan jauh, ke Penang minggu ini atas urusan penting.

Apa-apapun, mudah-mudahan penulisan kali ini bermanfaat untuk semua! InsyaAllah :)

********************
Minggu ini kuliah bertajuk 'Making A Propasal For A Child Care Centre'. Kuliah kali ini lebih menekankan dan membantu tugasan kumpulan kami iaitu 'small project' berkenaan propasal penubuhan Taska atau Tadika. Dalam kuliah kali ini, kami diberi pendedahan terhadap jenis program-program pusat penjagaan kanak-kanak yang ada termasuklah :

1. Family Care
Program ini menyediakan penjagaan kumpulan kecil kanak-kanak tidak mengira peringkat umur oleh sesebuah keluarga di rumah. Ia turut menyediakan aktiviti-aktiviti berstruktur seperti tadika atau taska namun tidaklahh berbentuk formal untuk dijalankan dengan kanak-kanak tersebut tetapi dijalankan dalam suasana rumah.

2. Home Care
Program ini berbentuk fleksibel dimana penjaga atau pengasuh akan datang ke rumah kanak-kanak untuk memberi perkhidmatan jagaan atau asuhan.

3. Day-Care and Children Development
Mengikut kefahaman saya, program ini lebih tertumpu kepada program yang berstruktur, menyediakan khidmat asuhan atau jagaan serta pendidikan kepada kanak-kanak.














4. Infant Care Centre
Program ini pula menyediakan khidmat asuhan bayi.

5. Child-Care Development Home

6. Before-and After-School Care
Penjagaan ini melibatkan kanak-kanak sebelum atau selepas waktu persekolahan. Hal ini untuk tujuan mengawasi kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang bekerja disamping dapat menyediakan aktiviti rekreasi buat kanak-kanak.

7. Satellite Child Development Programme

8. Nursery School
Program ini menawarkan kumpulan kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun dan biasanya mengikut kalender persekolahan. Ia turut menyediakan jam lanjutan atau kerja sepenuh masa dalam menjaga kanak-kanak ini bagi ibu bapa yang bekerja.

*Maafkan saya tidak dapat menghuraikan dengan lebih jelas dan tepat untuk beberapa term, timbul sedikit kekeliruan, betulkan saya sekiranya saya silap. Apa yang saya tulis ini, atas kefahaman saya dalam kuliah tersebut ^_^.

********************

Sedikit aktiviti berkumpulan yang dijalankan selepas kuliah ini adalah merancang dan merangka pengenalan terhadap propasal (tugasan 2). Kumpulan kami merancang untuk menubuhkan program penjagaan yang menggabungkan Day-Care and Child Development Centre dan Before-and After-School Care. Secara umumnya, idea gabungan dua program ini tercetus untuk mengatasi masalah-masalah yang berlaku untuk jangka masa panjang. Kami memikirkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh setiap perniagaan yang pastinya ada saat kebangkitan dan kejatuhan. Pada hemat kami, di awal penubuhan, potensi untuk berkembang adalah tinggi mengikut permintaan ibu bapa atau masyarakat setempat. Memandangkan untuk jangka masa panjang, kami tidak dapat menganggar peluang atau potensi untuk berkembang, kami mengambil inisiatif untuk mewujudkan dua program yang berlainan ini. Hal ini tidak tertumpu kepada penjagaan, pendidikan malahan menyediakan penjagaan transit. Atas alternatif ini, kami merancang untuk memilih lokasi yang berhampiran sekolah (untuk kanak-kanak transit) untuk tujuan pemantauan, rekreasi, pendidikan dan lain-lain keperluan sementelaah ibu bapa sedang bekerja di luar sana. Ini merupakan serba sedikit perancangan awal yang ingin dibuat oleh kumpulan kami. Kami mensasarkan objektif dalam memperkembang perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial kanak-kanak disamping mewujudkan satu sistem pendidikan berterusan untuk golongan kanak-kanak.

Dipihak saya sendiri, saya mengakui memerlukan pembacaan yang lebih banyak, meneroka bidang ini dengan lebih mendalam serta lain-lain usaha demi menambah baik perancangan yang telah dirangka. Alhamdulillah, melalui perbincangan dengan rakan-rakan dalam aktiviti berkumpulan tersebut, telah membuka ruang minda saya untuk berfikiran lebih jauh, banyak perkara yang perlu diambil kira, daripada sekecil-kecilnya, perkara di belakang tabir serta lain-lain perkara yang boleh menyumbang kebaikan atau keburukan kepada perusahaan perniagaan yang ingin dibina. Hal ini memerlukan motivasi yang tinggi, bukan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' sebaliknya memerlukan komitmen yang tinggi serta usaha yang berterusan. Saya juga perlu sedar bahawa, kemahiran dan pengalaman merupakan kunci utama untuk mempersiap diri menghadapi keperluan dan kehendak semasa serta mampu berfikir di luar kotak dalam menjana idea. Saya juga perlu memantapkan diri dalam ilmu pengurusan masa agar apa yang dirancang dapat mengikut aturan atau perancangan yang telah ditetapkan. Mudah-mudahan apa yang dirancang oleh kita semua mendapat petunjuk daripada-Nya.

DUIT= Doa+Usaha+Ikhtiar+Tawakkal :)

Wallahua'lam
Wassalam

Wednesday

.:Minggu ke-4 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.


Allah.. sucinya fitrah seorang anak kecil itu. Mereka insan suci daripada dosa dan noda kan ?

"Tiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah-islami). Ayah dan ibunya kelaklah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala)." -HR. Bukhari-

Tetapi, lewat musim ini, kita sering mendengar banyak permasalahan serta isu yang berkaitan dengan anak kecil ini, bayi yang dibuang, dibakar, dirogol, diculik dan macam-macam lagi kes yang pastinya meruntun hati sanubari kita. Terdetik di fikiran kita, dimana nilai perikemanusian insan yang dijadikan oleh Allah punyai akal fikiran ? Apa dosa mereka ? Layakkan mereka menerima dugaan seberat itu ? Di mana peranan kita sebagai ahli masyarakat, ibu bapa, guru ? Adakah kejadian-kejadian seperti ini akan terus berleluasa ? Di mana silapnya ?

Seorang sahabat datang kepada Nabi S.A.W dan bertanya, "Ya Rasulullah, apa hak anakku ini ?". Nabi S.A.W menjawab, "Memberinya nama yang baik, mendidik adab yang baik, dan memberikannya kedudukan yang baik (dalam hatimu)".-HR. Aththusi-

Baru-baru ini kita digemparkan dengan kes adik Dirang, kes yang menyayat hati, kanak-kanak yang berusia 5 tahun di bakar dalam perjalanan pulang ke rumah, kes kanak-kanak berusia dua tahun yang mati lemas selepas hilang dalam dari jagaan ibu bapanya di Tasik Titiwangsa, kes seorang anak berusia 5 tahun yang dicampak oleh ibunya sendiri daripada tingkat enam kerana merajuk dengan suami dan lain-lain kes lagi yang tidak sanggup rasanya untuk kita membacanya. Na'uzubillahi min zalik! Moga-moga Allah memelihara hati dan tingkah laku kita, keturunan kita serta menanam sikap belas kasihan dalam diri. Sama-samalah kita mengambil ibrah (pengajaran) daripada kekejaman yang berlaku di sekeliling kita pada masa kini.

Sedikit perkongsian pendapat tentang isu-isu yang melibatkan kanak-kanak di Negara kita:

1. Kurangnya pendidikan agama (unsur kerohanian) dalam diri.
Hakikatnya agamalah yang akan menjadi benteng kehidupan kita. Apabila hati kita merasa takut dengan Allah, sentiasa merasakan ALLAH ada dan memerhati setiap tindak-tanduk kita, pastinya kita tidak tergamak untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan agama. Pendidikan agama menjadi terpenting dan utama dalam kehidupan seharian kita, kerana disitu lah terbinanya satu garis panduan serta peringatan buat kita semua. Jadi, hidup ini pasti tertegak di bawah paksi 'amar makruf, nahi mungkar'.

2. Kurang prihatin terhadap tanggungjawab dan peranan.
Hal ini tidak tertumpu kepada ibu bapa dan guru semata-mata, tetapi peranan ahli komuniti (ahli masyarakat) juga. Apabila kita semua bergandingan bahu, menyedari hakikat tanggungjawab ini, akan wujudnya satu sistem keselamatan dan keselesaan dibumi sendiri. Namun, fenomena hari ini kelihatan tidak lagi selamat buat kita, hidup sentiasa diselubungi ketakutan, kanak-kanak menjadi golongan yang terpinggir, trauma sehingga membantutkan perkembangan mereka. Walhal mereka lah generasi yang perlu digilap kelebihan, bakat dan potensi diri untuk masa depan Negara.

3. Tiadanya tindakan susulan atau hukuman berat yang menjadi iktibar kepada golongan 'pemangsa' dan ahli masyarakat.
Istilah 'Melayu mudah lupa ?'.. benarkah ? Atau manusia itu sendiri didefinisikan sebagai 'pelupa' (yakni perkataan asal kejadian manusia=nasi'(lupa)). Lewat ini kita melihat krisis ini seolah-olah 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan', perkara ini amat menyedihkan kita serta pihak yang terlibat (lebih-lebih lagi). Tapi, sejauh mana pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab berhubung dengan kes-kes ini ? Saya tidak mengatakan dan tidak menunding jari pada pihak tertentu, tetapi saya sering tertanya-tanya, adakah langkah-langkah yang telah diambil mampu mewujudkan kesedaran di lubuk hati pemangsa? juga masyarakat sekeliling ? Tepuk dada, tanya selera.

********************

Sekadar itu sedikit perkongsian diari hati saya berhubung isu kanak-kanak ini. Saya sendiri meletakkan persoalan demi persoalan di benak fikiran saya, soal bagaimana untuk mewujudkan satu sistem yang dianggap selamat, selesa dan sempurna untuk Pendidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak ini, mungkin sistem ini perlu bermula dari peringkat institusi yang kecil iaitu institusi kekeluargaan itu sendiri ? Bagaimana untuk bertindak adil sebagai golongan dewasa yang dikurniakan akal cerdik terhadap golongan kanak-kanak ini ?

Wallahua'lam

p/s : Sama2 sedekahkah ALFATIHAH buat anak-anak kecil yang telah pergi mendahului kita. Moga-moga berbahagialah mereka di sana, insyaAllah. Dan ingatlah, balasan Allah pada yang menzalimi itu pasti! Wassalam

.:Minggu ke-4 (Bahagian 1):.

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang~
~Assalamu'alaikum wrh. wbt~


Alhamdulillah wa syukrulillah.. pada minggu ini, untuk permulaan kelas, terasa bersemangat melihat senyuman ceria Puan Puteri :) sedikit perkenalan tentang tugasan-tugasan untuk kursus ini. Terdapat tiga tugasan yang diberikan iaitu :

1. Reflective Writting
Untuk tugasan individu ini, berdasarkan penerangan pensyarah, ia lebih menjurus kepada bentuk penulisan diari yang perlu ditulis sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Selain itu, ia lebih menggalakkan penulisan yang berkait rapat dengan kursus Pengurusan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini sendiri. Disamping itu, penulisan ini juga boleh diselitkan dengan isu-isu semasa yang berlaku disekeliling kita.

2. Small Project
Tugasan ini pula dijalankan secara berkumpulan dengan mewujudkan satu propasal tentang penubuhan taska atau tadika yang dirancang oleh ahli kumpulan bermula daripada sifar. Segala-galanya perlu diatur dengan perancangan yang baik tidak kiralah sama ada dalam aspek pengurusan, pentadbiran, kurikulum, kewangan, persekitaran dan lain-lain.

3. Individual Report
Tugasan terakhir ini pula merupakan kesinambungan daripada tugasan kedua tadi (Small Project), tetapi dijalankan secara individu berhubung dengan propasal penubuhan taska atau tadika yang telah dibuat. Penulisan ini lebih menjurus kepada pendapat peribadi kita sama ada sokongan, idea mahupun komen terhadap tugasan kedua.

Secara keseluruhannya, saya mendapati tugasan-tugasan ini sangat bertepatan dengan kursus Pengurusan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak kerana ia lebih berpusatkan pelajar. Pelajar diberi peluang untuk menjana, mengembang dan meneroka idea-idea dalam memantapkan ilmu dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Hal ini juga adalah salah satu langkah penting yang perlu diambil oleh pelajar untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang yang diceburi. Alhamdulillah, tugasan-tugasan ini tampak menarik dan mencabar. Persediaan daripada aspek pembacaan, cakna terhadap perkembangan isu-isu semasa merupakan faktor penting yang perlu ada bagi seorang bakal pendidik. Mudah-mudahan tugasan-tugasan ini boleh dilaksanakan dengan jayanya dengan bantuan dan bimbingan suami, ibu bapa, keluarga, pensyarah dan rakan-rakan.

********************



Sesi pembelajaran pada minggu ini, bermula dengan topik, 'I am a manager ?'. Berdasarkan kuliah hari ini, saya sedar bukan senang untuk menjadi seorang pengurus, banyak perkara yang perlu diambil kira, besar tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan, serta tanpa ilmu yang mantap, kita tidak mampu untuk menjadi pengurus yang baik. Seorang pengurus tadika atau taska yang baik perlulah mempunyai pengurusan yang baik, arahan yang jelas, kurikulum yang bersesuaian, sokongan kakitangan, komunikasi yang baik, kewangan yang stabil dan mencukupi serta persekitaran yang selamat. Sedikit sebanyak, pendedahan terhadap topik ini membuka mata saya tentang persediaan yang perlu diambil sekiranya saya ingin membuka cawangan tadika atau taska sendiri kelak.

Dalam satu pembacaan saya, saya dapati pengurus dan pemimpin merupakan satu tugas atau amanah yang penting yang dipertanggungjawab oleh Allah Ta'ala kepada hamba-hambaNya dan akan dipersoal pada hari kelak. Sebagai muslim, kita harus menyedari hakikat itu apabila kita sendiri sudah meletakkan diri kita sebagai seorang pengurus atau pemimpin yang menerajui sesebuah institusi kecil mahupun besar. Berikut firman Allah yang berbunyi :

Dalam surah Al Hajj ayat 40-41, Allah berfirman:

"Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang munkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan. "

Wallahua'lam. Sekian sahaja untuk kali ini, mohon maaf salah dan silap ye :)
wassalam

Saturday

.:Pembuka Bicara:.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
~Assalamu'alaikum wrh. wbt~

Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk merasmikan blog ini dengan 'post' yang pertama ini :)

InsyaAllah tujuan utama blog ini diadakan untuk memenuhi kehendak dan keperluan untuk tugasan 'Reflective Writting' bagi subjek Pengurusan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (KAA 3034) di bawah kelolaan Pensyarah, Puan Putri Afzan Maria Binti Zulkifli. Disamping itu, dapat juga saya berkongsi informasi lebih-lebih lagi berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Saya juga mengalu-alukan komen atau kritikan membina daripada pensyarah dan sahabat-sahabat saya sekalian.

Maziah Farihah Binti Man Sort
D20091035151
AT19- ISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Sekian, terima kasih.
Wassalam