Thursday

.:Minggu ke-10 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Alhamdulillah menjengah ke minggu ke-10 kuliah :) Apa ye yang ingin dikongsikan untuk minggu ini ? 
Meneroka jauh, cuba mencari sedikit pengisian ilmu, barangkali dek kegersangan 'membaca'... InsyaAllah, kali ini ingin berkongsi berkenaan 'Kepentingan Pendidikan Awal Kanak-Kanak'.. :)

Kita sering mendengar pepatah 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'. Begitu jugalah proses pendidikan seorang insan, semuanya bermula seawal usia. Tetapi, mengapa ?? Kita melihat fenomena hari ini, bermacam-macam masalah yang timbul, apa yang telah berlaku disebalik semua ini ? Kita mempunyai potensi ke arah pembangunan dan kecemerlangan akademik kan, tetapi sahsiah ? Oleh itu, sistem pendidikan sangat memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sesuatu bangsa. Justeru itu, kita melihat bahawa peranan seorang pendidik sama ada guru mahupun ibu bapa adalah penting dalam merealisasikan proses sistem pendidikan ini. Hakikat pendidikan adalah bermula sebelum pertemuan dengan si ibu dan si bapa. Benarlah kata, Luqmanul Hakim, "aku mendidik anak-anakku 20 tahun sebelum mereka dilahirkan", yang membawa erti, kita perlu mendidik diri kita terlebih dahulu sebagai persiapan sebelum menjadi seorang ibu mahupun ayah. 

Rangsangan minda anak-anak dibawah usia 6 tahun adalah sangat penting dan jauh lebih memberi kesan kepada peningkatan IQ dan EQ. Menurut seorang pakar kanak-kanak, Glen Doman menerusi kajiannya tentang perkembangan kanak-kanak selama 40 tahun, menyebut bahawa kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dimana' "setiap kanak-kanak dilahirkan dengan potensi kebijaksanaan yang lebih tinggi berbanding Leonardo Da Vinci. Mengajar seorang bayi berusia satu tahun tentang pengetahuan ensiklopedia adalah lebih mudah berbanding mengajar budak berusia 6 tahun". Oleh sebab itu, 6 tahun pertama ini dinamakan sebagai tahun-tahun emas menurut Doman. Hal ini kerana, perkembangan pesat otak seorang manusia berlaku pada awal 6 tahun pertama kehidupannya. 

Jadi.. di peringkat 6 tahun pertama ini, saya cuba menggariskan apa yang sepatutnya bentuk-bentuk pendidikan yang perlu diterima oleh seorang kanak-kanak (kalau ada salah tolong betulkan ye) :
  1. Didiklah anak dengan pengetahuan agama, kerana agama lah yang akan menjadi asas panduan hidupnya, Apa sahaja, dimana sahaja, bila sahaja, penerapan nilai-nilai agama perlu diberikan supaya kanak-kanak mendapat satu pendedahan yang mengukuhkan prinsip hidupnya yang berpaksikan pada agama sebagai yang utama.
  2. Meneladani karenah kanak-kanak dengan kasih-sayang dan perhatian. Tidak layak sama sekali di awal usia ini kanak-kanak dihukum dengan hukuman yang berat, diabaikan, didera yang sekaligus akan mengganggu perkembangan sosio-emosi nya. 
  3. Galakkan terhadap penggunaan fungsi derianya untuk kanak-kanak berfikir, meneroka dan berinteraksi melalui persekitarannya.
  4. Sentiasa memberi peluang. Tidak sama sekali menyekat dan mengongkong minat dan bakat yang cuba ditonjolkan malahan memberi tunjuk ajar, dorongan dan ganjaran yang sepatutnya.
  5. Mengaplikasi kurikulum pendidikan yang berteraskan perkembangan menyeluruh kanak-kanak di prasekolah agar mencapai tahap keseimbangan meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. 
  6. Menggalakkan komunikasi dan penggunaan bahasa yang betul, sopan dan bersesuaian mengikut keadaan supaya dapat mewujudkan kemahiran sosial yang baik.
  7. Orang dewasa sebagai model yang paling hampir dengan kanak-kanak yang menjadi ikutan dan contoh buat kanak-kanak untuk membentuk pertuturan dan tingkah laku yang boleh diterima masyarakat umum.
  8. Ganjaran dalam bentuk pujian dan material (makanan, hadiah) yang bersifat nyata atau kasih sayang dan penghargaan yang bersifat tidak nyata perlu dijadikan sebagai satu pengukuhan dalam pengurusan tingkah laku kanak-kanak.
  9. Doa sebagai senjata. setiap kanak-kanak (anak-anak) dijadikan sebagai satu ujian untuk kedua-dua ibu bapa atau guru dalam mendidiknya, jadi bersandarkan usaha-usaha yang telah dilakukan, doalah sebaik-baik pengiringnya.

    InsyaALLAH.... semoga, kita sama-sama dapat mempraktikkan ilmu tentang pendidikan awal kanak-kanak ini untuk direalisasikan apabila berhadapan dengan dunia sebenar kanak-kanak. Jumpa lagi, wassalam :)

No comments: