Sunday

.:Minggu ke-10 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Meneliti tugasan-tugasan semester lepas, tiba-tiba saya terjumpa topik ini, yang saya kira boleh dikongsi bersama-sama dengan pembaca sekalian. Hasil tugasan di semester pertama yang mungkin ada terlebih dan terkurang :) Topik berkisar tentang 'Peranan Ibu Bapa dalam masalah ketidakstabilan emosi kanak-kanak'. Seperti yang kita ketahui, ibu bapa sangat memainkan peranan yang penting dalam pembentukan perkembangan kanak-kanak. Hal ini kerana, proses pendidikan pertama adalah bermula dari rumah. Jadi, peranan ibu bapa dalam memahami masalah ketidakstabilan emosi kanak-kanak adalah penting sebagai salah satu elemen penting yang memperlengkap perkembangan keseluruhan kanak-kanak.

Justeru itu, terdapat beberapa usaha boleh dijalankan untuk mengatasi masalah ketidakstabilan emosi kanak-kanak. Antaranya adalah dengan memahami proses perkembangan emosi kanak-kanak dengan lebih mendalam. Secara tidak langsung kita dapat mengetahui perubahan emosi kanak-kanak mengikut tahap umur dan perkembangan mereka. Penelitian menyatakan bahawa bercerita adalah cara terbaik dalam mendidik emosi dan perasaan anak, khususnya jika cerita itu disampaikan dengan gaya bahasa yang diminati dan difahami olehnya. Hal ini seterusnya dapat membina keperibadian kanak-kanak yang baik sekiranya baik intipati yang disampaikan hasil daripada wujudnya suasana yang baik serta tauladan yang baik terhadap kanak-kanak. Hal ini dapat membentuk kanak-kanak daripada acuan yang baik akhlaknya.

Dalam beberapa situasi yang kita lihat, dapat kita rumuskan bahawa kanak-kanak memiliki emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Mereka sangat sensitif dan mudah menangis apabila ditegur dengan nada yang kasar seperti dimarahi oleh bapa. Seterusnya, emosi mereka turut berubah apabila diberi pujian setelah berjaya menyelesaikan sesuatu perkara lebih-lebih lagi dalam bidang akademik. Oleh itu, ibu bapa perlu bijak menggunakan cara yang lebih diplomasi. Contohnya menegur dengan nada yang berhikmah tetapi tegas. Boleh juga diselitkan dengan pengajaran-pengajaran daripada cerita-cerita kanak-kanak.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mengamalkan didikan secara positif yang lebih bersifat autoritatif. Hal ini dapat menggalakkan kanak-kanak untuk berdikari tetapi masih diberi kawalan dalam setiap tingkahlaku mereka. Kanak-kanak yang diasuh dengan corak ini menjadi lebih terbuka dengan sedia dan berani memberi pandangan, meluahkan perasaan serta berkongsi cerita dengan ibu bapa. Secara tidak langsung konsep ‘memberi dan menerima’ daripada pihak ibu bapa dan anak-anak dapat diamalkan dimana kanak-kanak bersedia bercerita apa sahaja manakala ibu bapa memainkan peranan menjadi pendengar serta memberi nasihat dan pengajaran.

Oleh itu, peranan ibu bapa sangat penting dalam pembentukan sosial dan emosi secara didikan yang holistik untuk mewujudkan peluang perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak yang baik. Seharusnya peranan ini tidak diambil enteng kerana anak-anak merupakan modal insan untuk melahirkan generasi akan datang.

Wallahua'lam. wassalam :)

Thursday

.:Minggu ke-10 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Alhamdulillah menjengah ke minggu ke-10 kuliah :) Apa ye yang ingin dikongsikan untuk minggu ini ? 
Meneroka jauh, cuba mencari sedikit pengisian ilmu, barangkali dek kegersangan 'membaca'... InsyaAllah, kali ini ingin berkongsi berkenaan 'Kepentingan Pendidikan Awal Kanak-Kanak'.. :)

Kita sering mendengar pepatah 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'. Begitu jugalah proses pendidikan seorang insan, semuanya bermula seawal usia. Tetapi, mengapa ?? Kita melihat fenomena hari ini, bermacam-macam masalah yang timbul, apa yang telah berlaku disebalik semua ini ? Kita mempunyai potensi ke arah pembangunan dan kecemerlangan akademik kan, tetapi sahsiah ? Oleh itu, sistem pendidikan sangat memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sesuatu bangsa. Justeru itu, kita melihat bahawa peranan seorang pendidik sama ada guru mahupun ibu bapa adalah penting dalam merealisasikan proses sistem pendidikan ini. Hakikat pendidikan adalah bermula sebelum pertemuan dengan si ibu dan si bapa. Benarlah kata, Luqmanul Hakim, "aku mendidik anak-anakku 20 tahun sebelum mereka dilahirkan", yang membawa erti, kita perlu mendidik diri kita terlebih dahulu sebagai persiapan sebelum menjadi seorang ibu mahupun ayah. 

Rangsangan minda anak-anak dibawah usia 6 tahun adalah sangat penting dan jauh lebih memberi kesan kepada peningkatan IQ dan EQ. Menurut seorang pakar kanak-kanak, Glen Doman menerusi kajiannya tentang perkembangan kanak-kanak selama 40 tahun, menyebut bahawa kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dimana' "setiap kanak-kanak dilahirkan dengan potensi kebijaksanaan yang lebih tinggi berbanding Leonardo Da Vinci. Mengajar seorang bayi berusia satu tahun tentang pengetahuan ensiklopedia adalah lebih mudah berbanding mengajar budak berusia 6 tahun". Oleh sebab itu, 6 tahun pertama ini dinamakan sebagai tahun-tahun emas menurut Doman. Hal ini kerana, perkembangan pesat otak seorang manusia berlaku pada awal 6 tahun pertama kehidupannya. 

Jadi.. di peringkat 6 tahun pertama ini, saya cuba menggariskan apa yang sepatutnya bentuk-bentuk pendidikan yang perlu diterima oleh seorang kanak-kanak (kalau ada salah tolong betulkan ye) :
  1. Didiklah anak dengan pengetahuan agama, kerana agama lah yang akan menjadi asas panduan hidupnya, Apa sahaja, dimana sahaja, bila sahaja, penerapan nilai-nilai agama perlu diberikan supaya kanak-kanak mendapat satu pendedahan yang mengukuhkan prinsip hidupnya yang berpaksikan pada agama sebagai yang utama.
  2. Meneladani karenah kanak-kanak dengan kasih-sayang dan perhatian. Tidak layak sama sekali di awal usia ini kanak-kanak dihukum dengan hukuman yang berat, diabaikan, didera yang sekaligus akan mengganggu perkembangan sosio-emosi nya. 
  3. Galakkan terhadap penggunaan fungsi derianya untuk kanak-kanak berfikir, meneroka dan berinteraksi melalui persekitarannya.
  4. Sentiasa memberi peluang. Tidak sama sekali menyekat dan mengongkong minat dan bakat yang cuba ditonjolkan malahan memberi tunjuk ajar, dorongan dan ganjaran yang sepatutnya.
  5. Mengaplikasi kurikulum pendidikan yang berteraskan perkembangan menyeluruh kanak-kanak di prasekolah agar mencapai tahap keseimbangan meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. 
  6. Menggalakkan komunikasi dan penggunaan bahasa yang betul, sopan dan bersesuaian mengikut keadaan supaya dapat mewujudkan kemahiran sosial yang baik.
  7. Orang dewasa sebagai model yang paling hampir dengan kanak-kanak yang menjadi ikutan dan contoh buat kanak-kanak untuk membentuk pertuturan dan tingkah laku yang boleh diterima masyarakat umum.
  8. Ganjaran dalam bentuk pujian dan material (makanan, hadiah) yang bersifat nyata atau kasih sayang dan penghargaan yang bersifat tidak nyata perlu dijadikan sebagai satu pengukuhan dalam pengurusan tingkah laku kanak-kanak.
  9. Doa sebagai senjata. setiap kanak-kanak (anak-anak) dijadikan sebagai satu ujian untuk kedua-dua ibu bapa atau guru dalam mendidiknya, jadi bersandarkan usaha-usaha yang telah dilakukan, doalah sebaik-baik pengiringnya.

    InsyaALLAH.... semoga, kita sama-sama dapat mempraktikkan ilmu tentang pendidikan awal kanak-kanak ini untuk direalisasikan apabila berhadapan dengan dunia sebenar kanak-kanak. Jumpa lagi, wassalam :)

.:Minggu ke-9 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Menangani masalah tingkah laku agresif kanak-kanak ?

Kita sering mendengar keluhan orang dewasa tidak kira ibu bapa mahupun guru terhadap kanak-kanak agresif :
"Nakalnya budak ni..."
"Degil !"
"Susahnya nak ajar budak ni.."

dan macam-macam lagi keluhan.

Ya, mengendalikan kanak-kanak agresif bukanlah sesuatu perkara yang mudah, tapi insyaAllah masih ada cara dan pendekatannya, yang boleh diaplikasi selaku guru mahupun ibu bapa. Pemasalahan kanak-kanak agresif ini dibimbangi mengganggu suasana persekitaran terutamanya di prasekolah sehingga mengganggu sesi dan proses pembelajaran di dalam kelas disamping mengganggu rakan-rakannya yang lain. Antaranya kaedah-kaedah yang boleh digunakan dalam menangani kanak-kanak agresif termasuklah :
  1. Teknik dorongan (reinforcement) :
    Teknik ini menekankan kosep motivasi yang diberikan kepada kanak-kanak melalui ganjaran seperti pujian, makanan, dan perhatian. Teknik ini dikatakan lebih bersesuaian dengan jiwa dan sikap kanak-kanak kerana mereka adalah golongan yang mudah dipujuk. Namun begitu dorongan ini juga boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu dorongan positif dan dorongan negatif. Dorongan positif merujuk kepada dorongan berbentuk pemberian sesuatu kegembiraan. Contohnya, kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku yang baik harus diberi pujian secara terus dihadapan kanak-kanak agresif supaya mereka terdorong untuk turut sama bertingkah laku baik. Manakala dorongan negatif pula berbentuk pemindahan sesuatu kegembiraan. Contohnya, kanak-kanak yang berlakuan agresif akan didenda sekiranya tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di dalam seperti tidak bermain dengan rakan-rakannya sekiranya mereka berlari-lari di dalam kelas. Dorongan juga dikategorikan sebagai penghargaan, kasih sayang dan janji yang boleh diguna pakai dalam menangani masalah tingkah laku agresif ini.
  2. Pengabaian (Ignoring) :
    Sepeti yang kita ketahui, kanak-kanak adalah golongan yang mengambil perhatian daripada orang disekelilingnya dengan menunjukkan tingkah laku tertentu. Bagi mereka, tingkah laku ini akan mendapat perhatian meskipun sesuatu tingkah laku itu bukanlah tingkah laku yang baik. Oleh itu, ibu bapa atau guru boleh mengabaikan tingkah laku ini bagi mengelakkan kanak-kanak mengulangi tingkah laku ini serta menyedari bahawa sesuatu tingkah laku yang dipamerkan itu tidak disukai. Namun begitu, teknik ini juga dibahagikan kepada dua situasi iaitu, apabila kanak-kanak menunjukkan perlakuan agresif, orang dewasa bertindak mengabaikan dan tidak menghiraukannya bagi mengelakkan gangguan dalam sesuatu suasana. Satu situasi lagi pula, apabila kanak-kanak melakukan sesuatu kesalahan yang tidak disengajakan, hal ini perlu diabaikan. Contohnya, apabila seorang kanak-kanak ingin membantu ibunya mengangkat cawan ke dapur, tetapi berlaku kemalangan yang menyebabkan cawan itu pecah, jadi, hal ini perlu diabaikan kerana ia merupakan satu kesalahan yang tidak disengajakan.
  3. Hukuman (Punishment) :
    Hukuman adalah satu bentuk jalan penyelesaian terakhir yang boleh digunakan dalam menangani masalah kanak-kanak agresif ini. Ia tidak tertumpu semata-mata kepada hukuman fizikal sahaja yang boleh mendatangkan kesan kesakitan dan gangguan emosi, tetapi teknik ini juga boleh dilakukan dalam pelbagai cara mengikut kreativiti dan kemahiran psikologi yang bersesuaian. Contohnya, guru atau ibu bapa hanya menggunakan isyarat mata dalam bentuk jelingan sebagai hukuman untuk memberitahu bahawa perlakuan agresif itu tidak disenangi dan tidak disukai. Selain itu, hukuman ini juga boleh dilakukan dengan ugutan. Sebagai contoh, guru mengugut kanak-kanak untuk tidak dibenarkan pulang awal sekiranya tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberikan akibat perlakuan agresifnya di dalam kelas. Hal ini akan membuatkan kanak-kanak agresif mengubah tingkah lakunya dengan menyiapkan tugasan yang diberikan dengan segera untuk dapat pulang awal ke rumah.  
Dan... lain-lain kaedah lagi. Saya percaya bahawa, masih banyak lagi kaedah-kaedah lain yang boleh diguna pakai dalam menangani masalah tingkah laku agresif kanak-kanak ini. Wallahua'lam. Sekadar ini sahaja untuk kali ini. wassalam. :) 

.:Minggu ke-9 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Senyum :) Moga-moga semua sihat hendaknya, aminn insyaAllah.. Melangkah lagi ke minggu baru... minggu kesembilan kuliah. Tak banyak dah masa yang ada, berbaki cuma 5 minggu ? Minggu-minggu akhir yang getir, rata-rata antara kita sedang bertungkus lumus menyiapkan tugasan, perbentangan serta menghadapi kuiz-kuiz midterm. Moga-moga semuanya dihadapi dengan tenang, berlapang dada dan dilaksanakan dengan sehabis baik, insyaAllah :) (Penguat semangat untuk diri sendiri juga!)

***********************************************************

Jom kongsi ilmu lagi :)

Apa ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru prasekolah ?  
  1. Memahami keupayaan kanak-kanak : Setiap kanak-kanak dilahirkan dengan keupayaan yang berbeza meskipun berada pada usia yang sama dengan rakan sebayanya. Kefahaman guru tentang tahap keupayaan kanak-kanak ini akan menghasilkan variasi pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian.
  2. Memahami aras pemikiran kanak-kanak : Secara semulajadinya, peringkat pemikiran kanak-kanak adalah bermula daripada sesuatu benda atau perkara yang konkrit atau maujud yang berada disekelilingnya. Proses ini akan bercambah dari masa ke semasa dan guru harus peka terhadap alat/bahan bantu mengajar, sumber dan komunikasi yang digunakan semasa mengajar dan berinteraksi dengan mereka. 
  3. Memahami kelangsangan kanak-kanak : Untuk sesetengah situasi, kanak-kanak akan mempamerkan kelangsangannya sama secara fizikal atau psikologi. Mereka cenderung bertingkah laku tidak sepatutnya atas sebab keperluan-keperluan yang tidak difahami dan tidak dipenuhi apatah lagi mereka tidak mendapat intervensi awal daripada orang dewasa (guru) dalam menangani kelangsangan mereka.
  4. Memahami pendekatan belajar : Hal ini sangat penting dalam penyampaian pengajaran di dalam kelas. Kanak-kanak adalah golongan yang mempunyai tumpuan yang sangat singkat dan memerlukan pendekatan yang menarik serta tidak membosankan mereka. Antara pendekatan terbaik adalah 'belajar sambil bermain'.
  5. Memahami perasaan ingin tahu kanak-kanak : Guru tidak seharusnya mudah melenting atau marah terhadap keinginan (perasaan ingin tahu) kanak-kanak malahan mereka perlu diberi peluang mencuba tetapi perlu dibimbing serta dibawah kawalan guru. Apa sahaja yang ada disekeliling mereka, cenderung untuk diterokai. Sekiranya minat dan keinginan mereka disekat, kanak-kanak akan hilang keyakinan diri serta membantutkan proses perkembangan yang sihat.
  6. Penyabar dan Penyayang : Guru perlu mempunyai sifat sabar yang tinggi dalam melayani karenah dan tingkah laku kanak-kanak yang pelbagai. Sifat penyayang juga harus disemai dalam diri untuk melahirkan keikhlasan dalam mengasuh dan mendidik anak-anak kecil ini.
  7. Fleksibel : Seorang guru seharusnya menjadi seorang yang fleksibel dalam mengurus tingkah laku kanak-kanak, serta bijak dalam mengaplikasi pelbagai cara mengajar (pendekatan, kaedah dan teknik) serta tidak bersifat rigid di atas apa yang dirancang. Guru seharusnya bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan di dalam kelas yang memerlukan tindakan spontan. Untuk sesetengah situasi guru perlu bertegas dan sesetengah situasi guru perlu mempamerkan kasih sayang. Adakalanya juga guru perlu menjadi pendengar yang terbaik, mempunyai sifat empati terhadap masalah kanak-kanak serta berusaha melakukan yang terbaik untuk anak didiknya.
  8. Bijak berkomunikasi : Komunikasi merupakan salah satu medium terpenting yang menghubungkan guru dan kanak-kanak. Komunikasi yang berkesan menggalakkan persekitaran yang sihat dimana wujudnya budaya saling hormat-menghormati, arahan mudah diterima, pengajaran dan pembelajaran mudah diperoleh serta menjadi satu contoh ikutan kanak-kanak. Pentingnya di sini penggunaan bahasa yang mudah difahami, sopan serta bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak
  9. Konsisten : Sikap ini perlu ada dalam diri seorang guru meskipun berhadapan dengan masalah peribadi, dimana guru tidak boleh melepaskan serta mempamerkan rasa sedih dan marah kepada kanak-kanak. Hal ini tidak boleh dicampur aduk kerana ianya akan menjejaskan mutu pengajaran yang disampaikan disamping kanak-kanak yang menjadi mangsa. Sekiranya guru bijak dalam mengurus emosi, apa sekalipun situasi yang dihadapi akan dihadapi dengan diri yang konsisten seolah-olah tidak berlaku apa-apa.
  10. Menyedari hakikat tugas guru bukan sekadar mengajar tapi juga mendidik. 
Wallahua'lam.
Ini sekadar apa yang terlintas diminda disamping dipetik daripada beberapa sumber pembacaan. Mungkin pensyarah atau sahabat-sahabat semua boleh menambah lagi apa yang tertinggal dan terlepas pandang.

Sekian, wassalam :)

.:Minggu ke-8 (Bahagian 3):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

*****************************************************

Mengapa kita memilih dan terpilih mengikuti bidang pendidikan awal kanak-kanak ??
Jom kita sama-sama ambil masa sejenak fikirkan masa depan kerjaya kita. Rupanya masih banyak kerjaya yang boleh kita ceburi yang tidak semata-mata terikat untuk mengajar di taska/tadika, berhadapan dengan kanak-kanak malahan kerjaya dalam bidang ini sebenarnya adalah lebih meluas skopnya, anda dan kita boleh menjadi pendidik (guru/pensyarah), pakar kaunseling, memiliki perusahaan tadika/taska sendiri (perniagaan), penulis buku kanak-kanak, mereka cipta permainan kanak-kanak, terlibat dengan agensi-agensi kerajaan mahupun luar dalam mereka bentuk kurikulum, dan lain-lain. Banyak kan ? Mengapa perlu kita kecilkan skop peluang kerjaya kita? TAPI, semua ini memerlukan ilmu pengetahuan, pengalaman, komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh. Pendek kata, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Bukan sekadar cuba nasib. Tapi punyai matlamat yang jelas, untuk apa lalu bagaimana untuk merealisasikannya.

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu berkaitan perniagaan tadika/taska (yang merupakan salah satu skop peluang kerjaya kita). Kerana apa ? Saya melihat situasi hari ini, ibu bapa sibuk bekerja diluar seharian, jadi meletakkan anak-anak di pusat asuhan (tadika/taska) menjadi satu perkara biasa, dan ini menjadikan kemasukan kanak-kanak ke tadika/taska mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa. Disebabkan permintaan sedia ada dan faktor mendesak inilah, perniagaan tadika/taska dilihat sebagai satu keperluan dan perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh ibu bapa masa kini dan mendatang. Kebanyakan ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak yang berusia seawal usia 2 bulan hingga 6 tahun untuk diserahkan kepada pengasuh dan guru sepanjang tempoh mereka bekerja sebagai tujuan mendapat pendidikan dan perlindungan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain. Hal ini jelas menunjukkan peranan kita sebagai golongan yang mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini disamping dapat menjadi satu medan atau medium untuk mengaplikasi ilmu yang telah dipelajari serta mengutip pengalaman baru

Apa itu tadika/taska ??

TASKA (Taman Asuhan Kanak-Kanak) boleh didefinisikan sebagai mana-mana premis yang menerima masuk kanak-kanak melebihi 4 orang yang berumur 4 tahun ke bawah selain dari seisi rumah dengan menerima upah. Tujuan TASKA ditubuhkan adalah untuk membantu ibu bapa menjaga anak-anak mereka sepanjang ketiadaan ibu bapa. Penubuhan TASKA ini perlulah didaftartkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

TADIKA (Taman Didikan Kanak-Kanak) pula adalah mana-mana premis yang menerima masuk lebih daripada 4 orang kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun untuk tujuan menerima pendidikan dengan upah. Penubuhan TAFIKA swasta perlulah didaftar di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), iaitu Unit Pendidikan Swasta. Oleh itu, semua hal yang berkaitan tadika swasta hendaklah dirujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

Apa pula tips dalam membina perniagaan tadika/taska ini ?
  1. Pendaftaran - TASKA perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan TADIKA berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).
  2. Persekitaran yang bersih dan selamat - Sila pastikan kebersihan kawasan sekitar Taska atau Tadika pada tahap yang memuaskan.
  3. Lokasi - Sila pilih lokasi Taska atau Tadika yang strategik, mudah untuk dilihat dan dikunjungi.
  4. Warna - Perlulah memilih tema warna yang sesuai dan ceria untuk Taska & Tadika bagi membantu perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
  5. Program & aktiviti yang berkualiti - Sila pastikan program yang ditawarkan memberi pendedahan yang baik kepada proses awal pendidikan & pembelajaran kanak-kanak.
  6. Insuran - Adalah digalakkan Taska atau Tadika menyediakan skim insuran kepada kanak- kanak di bawah jagaan mereka.
  7. Fardu Ain @ Iqra' - Sebaik-baiknya Taska atau Tadika menyediakan program pelajaran asas fardu ain & iqra'.
  8. Perkhidmatan Pengangkutan - Taska atau Tadika yang mempunyai perkhidmatan pengangkutan sendiri akan lebih  digemari oleh ibubapa kerana memudahkan mereka.
  9. Promosi - Promosi yang berterusan adalah sangat penting bagi memastikan bisnes Taska & Tadika mampu bersaing dan sebagai media informasi kepada para pelanggan.
Sekadar disini dulu untuk kali ini, jumpa lagi!
wassalam :)

.:Minggu ke-8 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Salam kasih sayang untuk semua, apa khabar semuanya ? Moga-moga dalam lindungan Allah sentiasa :) aminn, insyaAllah. Melewati minggu kelapan kuliah di semester 6, pantas masa berlalu, terfikir sejenak, apa yang dah kita perolehi sepanjang tempoh ini ? Moga-moga masih diberi kesempatan ruang, masa untuk memperbaiki kesilapan, untuk membuat anjakan paradigma, untuk berhijrah dalam perjuangan menuntut ilmu, sebab bukan senang nak senang kan ? Semuanya memerlukan pengorbanan masa, tenaga (usaha) dan lain-lain. Apa yang PENTING ? JANGAN mudah MENGALAH!

*************************************************

Disini ingin saya kongsikan sedikit ilmu yang saya telah baca, berkaitan 'memahami masalah tingkah laku kanak-kanak'. Setiap individu dilahirkan dengan pelbagai cabaran dari segi fizikal dan psikologikal yang cenderung menyebabkan berlakunya gangguan emosi dan tingkah laku. Kita sering melihat dan berhadapan dengan situasi kanak-kanak yang pelbagai ragam dan tingkah laku, sehinggakan kadang kala kita kebuntuan idea untuk meladeni tingkah laku mereka. Dimana silapnya ? Peranan siapakah dalam memahami masalah tingkah laku kanak-kanak ini? Ya.. orang dewasa.. kitalah golongan yang terlebih dahulu perlu memahami tingkah laku kanak-kanak. Hal ini bertujuan sebagai satu intervensi awal dalam menangani masalah tingkah laku kanak-kanak. Sekiranya pengesanan awal, penjagaan, pemulihan dan kawalan dibuat oleh orang dewasa terhadap golongan kanak-kanak bermasalah ini, impaknya sangat besar terhadap diri individu itu sendiri (kanak-kanak), ibu bapa, guru, rakan sebaya, masyarakat, agama dan Negara. Pengesanan dan intervensi awal ini dianggap penting untuk membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa supaya perkembangan yang sihat dapat diperoleh. Perkembangan yang sihat ini dapat membentuk kesejahteraan mental yang baik untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan

Tingkahlaku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat,tidak kira di dalam kehidupan
bermasyarakat atau termasuk sekolah.Berdasarkan dari kajian dan pemerhatian oleh pakar psikologi, didapati tingkah laku bermasalah ini timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini menyebabkan berlakunya gangguan emosi dan aktiviti kehidupan individu serta seterusnya mengganggu kestabilan dan keharmonian persekitarannya.Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah.

Di Malaysia, 13 peratus atau 130 000 orang kanak-kanak dan remaja didapati mengalami masalah tingkah laku dan emosi (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005). Antara sebab yang menyumbang kepada tingkah laku bermasalah termasuklah tekanan dalam keluarga, teknik keibubapaan yang kurang sesuai, keadaan persekitaran, dan kurangnya ilmu pengetahuan untuk menanganinya.

Fields dan Boesser (1994) telah menghuraikan beberapa keperluan kanak-kanak yang akan menyebabkan mereka menunjukkan tingkahlaku bermasalah sekiranya tidak dipenuhi. Antaranya ialah:

1. Privasi-Kadangkala kanak-kanak inginkan ruang atau kebebasan untuk menyendiri. Contohnya, kanak-kanak ingin bermain atau membaca bersendirian.

2. Kuasa • Kanak-kanak juga inginkan kuasa untuk menentukan dirinya sendiri. Mereka juga inginkan kebebasan. Contohnya, kanak-kanak ingin memilih sendiri pakaian yang ingin dipakai semasa bermain.

3. Memiliki barang peribadi • Kanak-kanak ingin memiliki sesuatu benda. Mereka tidak mahu berkongsi barang yang dianggap milik peribadi seperti kasut dan permainan.

4. Perhatian • Kanak-kanak inginkan perhatian. Selalunya, mereka akan menangis supaya dapat memberitahu orang lain tentang keperluan mereka itu.

5. Kejayaan dan cabaran • Kanak-kanak ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka meneroka dunia dan persekitaran disebabkan perasaan ingin tahu. Kanak-kanak akan mencuba sesuatu tingkahlaku untuk melihat kesan daripada tingkahlaku tersebut.

6. Keselamatan • Keperluan keselamatan yang ingin diperlukan oleh kanak-kanak bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosional. Melalui interaksi, kanak-kanak belajar untuk menghargai dan menerima dirinya sendiri dan orang lain.

7. Kasih sayang dan penerimaan • Kanak-kanak ingin disayangi dan diterima seadanya oleh orang lain. Apabila kanak-kanak merasakan diri mereka terbiar, mereka akan merasa rendah diri dan kendiri negatif akan terbentuk.

Bagaimana untuk mengenali ciri-ciri kanak-kanak bermasalah ?

Kebanyakkannya akan mengalami gangguan daripada aspek berikut:

  1. Melalui interaksi sosial - sama ada dengan rakan sebaya, guru atau ibu bapa.
  2. Komunikasi ( lisan dan bukan lisan) - sukar untuk meluahkan keinginan sendiri.
  3. Minat dan aktiviti - suka membuat gerakan yang berulang-ulang yang aneh.
  4. Masalah dalam aktiviti motor/ fizikal - menjadi terlalu aktif atau terlalu lembap.
Lalu, bagaimana pula kita mengatasi masalah tingkah laku kanak-kanak ini ?  
  1. Belajar Sambil Bermain - fitrah kanak-kanak sukakan sesuatu yang menghiburkan, apabila elemen ini diterapkan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran, kanak-kanak mudah mengikuti dan berasa selesa disamping tidak mudah bosan.
  2. Main Peranan - teknik ini melibatkan penglibatan aktif kanak-kanak dimana mereke diberi peluang untuk bergerak dan berinteraksi dengan rakan sebaya.
  3. Kaedah dan Teknik Pemudahcaraan - teknik ini melibatkan bimbingan yang diberi oleh orang dewasa untuk kanak-kanak bertingkah laku baik, dimana guru cuba menjelaskan, menunjukkan sesuatu tingkah laku itu baik atau tidak. 
  4. Tunjuk Cara (Demonstrasi) - orang dewasa terlebih dahulu menjadi 'role model' dalam menunjukkan tingkah laku yang baik untuk ditonjolkan kepada kanak-kanak. Hal ini kerana, kanak-kanak mudah meniru tingkah laku sama ada baik atau tidak baik melalui persekitarannya.
  5. Peneguhan Positif - teknik ini melibatkan unsur ganjaran dalam bentuk senyuman, pujian, sokongan, hadiah yang diberikan kepada kanak-kanak sekiranya mereka menunjukkan tingkah laku yang baik.
  6. Peneguhan Negatif - teknik ini berbentuk hukuman yang diberi kepada kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku bermasalah seperti pengasingan untuk menjadi pengajaran kepada mereka bahawa tingkah laku yang dilakukan itu tidak disukai.
Sekian, untuk kali ini, moga-moga bermanfaat untuk semua :) have a nice day!
wassalam

.:Minggu ke-8 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Salam ceria untuk semua :) ape khabar ? moga-moga dalam lindungan Allah sentiasa. Aminn~ 

Aku tak bodoh ?
Ini topik yang saya cuba ketengahkan untuk entri kali ini, agak ganas bunyinya ye ? =.= Sebenarnya, baru selesai menonton cerita ini, saranan daripada abang saya, katanya cerita ni best. Tapi penilaiannya?  semuanya bergantung kepada individu itu sendiri kan ? Apa yang pasti, menerusi cerita ini, saya dapati adanya unusr nilai yang boleh dipraktikkan oleh kita dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi dalam kehidupan berkeluarga..
 
poster aku tak bodoh
Sedikit sinopsis cerita..
ATB
Sudin seorang ramaja berusia 16 yang dibesarkan oleh bapanya yang telah di tinggalkan isteri sejak kecil sentiasa kekurangan kasih sayang dari ayahnya. Cara ayahnya amat keras semasa membesarkannya sehingga dia menjadi seorang anak yang kuat melawan kata orang tua. Hidup dalam serba kekurangan dan sentiasa di pandang buruk oleh guru sekolahnya.
ATB
Roy pula anak orang berada dan mempunyai seorang lagi adik lelakinya iaitu Jefri. Kedua orang tuanya sentiasa sibuk dengan urusan pejabat sehingga mengabaikan mereka berdua. Roy gemar menghabiskan masanya dengan berblogging dan berjaya meraih kejayaan sebagai “best Blogging” dan di anugerahkan hadiah tetapi ibunya sentiasa menindas kehendaknya.
ATB
Roy dan Sudin berkawan baik dimana sentiasa tolong menolong andai ada kesusahn yang terjadi antara mereka.
ATB
Jefri pula seorang kanak yang memerlukan perhatian dari kedua orang tuanya tetapi tidak di endahkan sehingga la ia telah melakukan perkara yang di luar jangkaan.
**********************************************************
Secara peribadinya, berdasarkan penceritaan yang cuba disampaikan, ini pendapat saya :

Selain terdapat unsur komedi dalam penceritaan ini, cerita ini mempunyai mesejnya yang tersendiri, untuk ibu bapa dan remaja serta sesuai ditonton oleh seisi keluarga. Sebagai ibu bapa, perlunya ada kefahaman terhadap situasi ramaja sekarang, perlunya menggunakan psikologi serta tahap kesabaran yang tinggi dalam mendidik golongan ini. Remaja adalah golongan yang mengalami kekeliruan identiti, mereka dalam proses membina jati diri sebenar, yang memerlukan bimbingan dan dorongan daripada ibu bapa. Ibu bapa tidak boleh menyekat keinginan dan minat mereka, tetapi ibu bapa seharusnya menggunakan pendekatan bersahabat dengan mereka, cuba menasihati dengan cara terbaik sekiranya apa yang dilakukan itu silap. 
Manakala, tidak ketinggalan juga, peranan ibu bapa terhadap anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian dan kasih sayang. Kanak-kanak pada usia ini mungkin banyak bertanya, soalan itu dan ini, dan soalannya kadangkala luar daripada jangkaan kita, namun mereka memerlukan jawapan, bukan diam, yang hanya mencambahkan kekeliruan dan ketidakfahaman mereka, sudahnya mereka sendiri membuat penilaian di atas kefahaman mereka. Kanak-kanak juga mempunyai tahap pemikiran kurang matang yang akan mempengaruhi tindak tanduknya, sebagai ibu bapa perlu memberitahu, menerangkan kenapa.. apa.. bagaimana.. untuk menjawab persoalan-persoalan di minda mereka. Hakikatnya semua kanak-kanak ini dilahirkan bijak, tetapi sekiranya tidak diberi pendedahan dan kefahaman yang betul, mereka akan hilang punca dan pertimbangan. Jangan mudah mengecop kanak-kanak itu nakal, jahat dan degil. Sebaliknya gunakanlah cara yang lebih berhikmah dalam mendidiknya.
Cerita ini juga memaparkan bagaimana kecuaian ibu bapa yang membawa kepada satu persatu permasalahan kepada anak-anak mereka. Sehinggakan berlakunya perkara-perkara yang tak di duga. Ibu bapa ini juga sama sekali tidak memberi PENGHARGAAN terhadap kebolehan dan bakat anak-anak serta jarang memberi PELUANG untuk anak-anak, sehinggakan mereka merasakan apa sahaja yang mereka lakukan tidak kena pada pandangan mata kedua-dua ibu bapanya walhal ibu bapanya sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik.
Jadi, sama-sama kita menyedok nilai yang baik menerusi cerita ini, moga-moga bermanfaat buat semua, sampai di sini dahulu :) wallahua'lam.
Wassalam 


Tuesday

.:Minggu ke-7 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Buat pensyarah yang disayangi dan sahabat-sahabat seperjuangan, semoga semuanya dalam lindungan Allah Ta'ala, insyaAllah.. pertama-tama sekali, selamat bercuti kepada semua! Meskipun, banyak lagi tugasan-tugasan yang perlu diselesaikan dalam tempoh cuti ini, namun mudah-mudahan waktu dan nikmat kelapangan ini dapat dimanfaatkan oleh saya sendiri dan sahabat-sahabat semua :) insyaAllah~ Indahnya, bila mana setiap saat kita merasakan 'masa itu emas' untuk kita kan ? Pasti kita tidak mensia-siakan masa yang terus berlalu.
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat-menasihati ke arah kebenaran dan kesabaran. "(Al-Asr : 1-3)

********************

Topik apa yang ingin saya perkatakan minggu ini ? Tak lain tak bukan.. topik tentang kanak-kanak...lagi ? Ye, topik ini tidak pernah sudah-sudah dalam kamus kehidupan saya, dan rakan-rakan yang mengambil jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini :) Itulah dunia yang cuba kami selami, fahami  terokai.. kerana insyaAllah satu hari nanti, kamilah bakal pendidik kepada anak-anak kecil ini, insan suci tiada dosa dan noda.. di tangan-tangan dan di bahu-bahu inilah terpikul satu beban amanah Allah untuk kami. kalau pun bukan membentuk insan lain, tapi pastinya (insyaAllah) kami tergolong dalam golongan yang bakal membentuk darah daging kami sendiri.. Alhamdulillah peluang dan pengalaman belajar di UPSI dalam bidang ini adalah satu hikmah besar untuk saya, meskipun rata-rata orang ramai yang memperlekehkan bidang ini.. namun, kesedaran hadir dari lubuk hati mengatakan 'aku di sini bukan untuk bermegah-megah, bukan untuk mengisi kekosongan bidang ini, bukan untuk mencuba nasib, tetapi untuk belajar ILMU ALLAH yang MAHA LUAS'.. insyaAllah untuk kebaikan yang mungkin belum tampak buat masa ini~ tapi. masa hadapan ? 

Baru-baru ini, saya ditahan di wad kerana sedikit masalah kesihatan ^_^ semalaman di sana, banyak mengajar saya untuk menjadi insan tabah dan sabar. Ye, saya bukan insan yang cukup sabar saat menghadapi ujian dan mehnah kehidupan, kadangkala terduduk, menangis, termenung panjang.. seolah-olah menyesali perjalanan yang terbentang untuk saya.. tapi saya SILAP, ramai lagi insan malang, insan yang kurang bernasib baik berbanding saya, saya perlu BERSYUKUR! Apa yang cuba saya sampaikan di sini, pada hari tersebut saya ditempatkan di wad bakal ibu dan ibu-ibu yang berhadapan dengan karenah anak-anak kecil (bayi) serta berhadapan kesakitan (contraction) menghadapi saat bersalin. Allah, tersentuh hati tatkala melihat situasi-situasi ini dihadapan mata saya sendiri. Melihat keringat seorang ibu yang menahan kesakitan, dan akhirnya dalam masa 9 jam keluar dari bilik bersalin dengan senyuman yang paling manis.. bersama seorang bayi.. fitrah sucinya seorang bayi itu membuatkan si ibu hilang terus kesakitan yang ditanggung saat ingin bersalin.. Berbual-bual dengan mereka, memegang bayi-bayi kecil itu, terasa ada sumber kekuatan yang hadir! Allahuakbar..

Bukan senang untuk mendidik hati dan diri menjadi KUAT kan teman-teman ? Tetapi. apabila kita diuji, dibentangkan sesuatu yang kita sendiri tidak terduga, kita sudah punyai jawapan. Segala keluh-kesah tidak menjanjikan apa-apa. Begitu jugalah keberadaan saya dan teman-teman di sini, sebagai bakal pendidik untuk generasi mendatang, kita insan terpilih! Ujian ke atas diri kita atas kemampuan yang kita miliki. Semoga kita tidak pernah merasa putus asa atau menyesali pilihan ini. Ye, dalam melayani karenah anak-anak kecil, ia bukan satu pekerjaan yang mudah, memerlukan tahap kesabaran yang tinggi, hinggakan ada yang menangis, berputus asa, cukup sampai di sini, dan bermacam-macam lagi pemikiran negatif yang merasuk. Saya bercakap di atas apa yang sering bermain di minda saya, saya juga bukanlah seorang yang bijak pandai dalam melayani dan meladeni telatah-telatah anak-anak kecil ini, tapi hakikatnya kanak-kanak inilah sebenarnya yang sedang mendidik kita menjadi sabar dan tabah. Secara teorinya nampak mudah, namun realiti yang perlu dihadapi memerlukan jiwa yang kuat, bunyinya seperti sedang ingin berjuang di medan peperangan kan ? Tetapi inilah hakikat setiap daripada kita sememangnya perlu melaluinya, di mana detik-detik perjuangan yang mungkin berat untuk ditempuhi tetapi perlu dilalui juga kerana di sini telah tertulis dalam SUNNATULLAH! Sebenarnya, saya sedang memikir sesi praktikum yang bakal menjelang pertengahan tahun, serasanya fizikal dan mental belum cukup bersedia menghadapi realiti sebenar dunia Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Mengharapkan doa pensyarah-pensyarah, dan sahabat-sahabat, semoga semuanya dilalui dengan tenang dan dipermudahkan urusan, insyaAllah~ sampai di sini dulu ye :)

Wassalam :)

Monday

.:Minggu ke-7 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Alhamdulillah wa syukrulillah :)

Minggu ini kuliah berkisar tentang 'Policies' dalam pengurusan sesebuah tadika atau taska. Polisi adalah satu garis panduan atau plan tindakan yang dilakukan atau perlu diikuti oleh pengguna atau pelanggan dimana ia berbentuk kontrak bertulis atau dalam bentuk sijil. Polisi juga adalah satu peraturan atau undang-undang yang diwujudkan untuk mencapai satu arah atau tujuan sesebuah organisasi atau jabatan.

Alhamdulillah sesi bermula dengan brainstorming polisi-polisi yang berkaitan dengan sesebuah pengurusan tadika atau taska termasuklah :

1. Admission
2. Safety and health care/ Nutrition
3. Child Education/ Curriculum
4. Teachers/ Staffs
5. Parents
6. Fees Payment and Refund
7. Contigency Plans
8. Etc..

Namun begitu, polisi-polisi di atas akan diselaraskan oleh pengusaha atau pengurus sesebuah tadika atau taska itu sendiri bergantung atau mengikut keperluan seperti yang telah dirancang untuk mencapai objektif penubuhan. Hal ini mengikut keutamaan, kepentingan dan ciri-ciri sesebuah tadika atau taska yang ingin dibangunkan.

Mengapa pentingnya sesebuah polisi dalam sesebuah pengurusan tadika atau taska ye ?

1. Untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu dalam sesebuah organisasi atau jabatan.
2. Mengambil kira keperluan ramai terutamanya terhadap permintaan ibu bapa dan masyarakat setempat. 
3. Mengelakkan perkara-perkara buruk berlaku seperi situasi-situasi tertentu (kecemasan, kemalangan, bencana alam dan lain-lain).
4. Untuk mendisiplinkan masyarakat dalam sesebuah organisasi atau jabatan, dengan satu polisi yang diseragamkan untuk difahami dan dipatuhi sepenuhnya.
5. Membimbing atau memandu masyarakat sesebuah organisasi atau jabatan mengikut peraturan yang telah ditetapkan untuk menjayakan matlamat organisasi atau jabatan.

Untuk sesi aktiviti dalam kumpulan, kami diberi tugasan untuk membina sebuah polisi sendiri di atas penubuhan tadika atau taska yang ingin diusahakan. Kami cuba menggabungkan idea-idea yang disumbangsaran dalam aktiviti awal tadi. Setelah berbincang di dalam kumpulan dan mendapat nasihat daripada Puan Puteri, saya akui pembinaan polisi ini memerlukan penelitian yang mendalam, kefahaman yang arif serta pengetahuan yang sebenarnya tentang corak, matlamat, nilai dan amalan yang ingin dibentuk dalam sesebuah tadika/taska yang ingin dibina. Wallahua'lam.

Wassalam :)

Wednesday

.:Minggu ke-6 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Salam pagi :) moga-moga hari ini menjanjikan yang lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini, insyaAllah!

Alhamdulillah, pagi ini sempat berdiskusi panjang dengan suami tentang corak pendidikan anak-anak. Apa yang diusulkan oleh suami saya membuatkan saya berfikir sedalam-dalamnya, seolah-olah mendapat jawapan yang pasti.. semuanya bermula daripada TARBIYYAH :) Apa itu tarbiyyah ? Apabila kita mencapai satu tahap kefahaman, itu adalah satu nikmat, lantaran nikmat faham itulah yang akan melahirkan rasa ikhlas dalam diri dalam apa jua pekerjaan hatta sekecil-kecil tindak-tanduk dan perlakuan kita. Tarbiyyah itu merujukkan kepada penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Manakala dari segi istilah, perkataan Tarbiyyah membawa pengertian cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik. Tarbiyyah juga merangkumi semua aspek yang mana tarbiyyah ini tidak pernah melupakan ibadah tanpa amal, yang seimbang antara teori dan praktikalnya, yang mementingkan aspek ruh, jiwa dan akal. Tarbiyyah memerlukan kesabaran dan keazaman yang kuat kerana proses ini bukan sahaja memakan masa yang sedikit tetapi lama dan perlu berterusan. Jadi, tidak hairanlah jika saya katakan proses pendidkan awal kanak-kanak juga bermula daripada tarbiyyah.

Ibu bapa sebagai medan tarbiyyah anak-anak ? Tapi, bagaimana ?

Islam dan Iman menjadi asas tarbiyyah yang utama dalam pendidikan awal kanak-kanak. Islam mentarbiyyah kita untuk memahami apa itu rukun islam, mengimani keenam-enam rukuk iman, meneladani sirah perjuangan rasulullah dan sahabat, mengamalkan akhlak-akhlak yang baik serta berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan hidup kita sepanjang zaman. Iman pula menjadi benteng atau perisai yang kukuh daripada terjebaknya kita dalam gejala yang tidak sihat. 

Asas pendidikan atau tarbiyyah yang disarankan oleh rasulullah s.a.w mempunyai tiga tahap iaitu:

1. Peringkat kasih sayang (usia 7 tahun pertama)
Proses ini berlaku melalui sentuhan, belaian, susuan ibu yang menjadikan hubungan ibu atau bapa dengan anak lebih akrab. Hak anak untuk mendapat kasih sayang daripada ibu bapa pada usia ini perlu lah ditunaikan kerana di awal perkembangan dan pertumbuhan, ia sangat memberi pengaruh yang besar terhadap tingkah laku dan emosi kanak-kanak. 

2. Peringkat pembentukan (usia 7 tahun kedua)
Pada peringkat ini, ibu bapa perlu meneruskan proses tarbiyyah dalam membentuk jati diri dan identiti kanak-kanak. Pada waktu ini, ibu bapa berperanan memberitahu, menasihati, menyuruh dan menerangkan kepada kanak-kanak. Pada usia ini, kanak-kanak akan mengalami satu fasa di mana mereka cenderung untuk bertanya 'mengapa', 'bagaimana' dan 'kenapa' terhadap sesuatu perkara.

"Kenapa saya perlu memakai tudung ibu ?", "Kenapa saya perlu solat ?", "Mengapa saya tidak boleh...",

Dan bermacam-macam persoalan lain yang timbul... Sebagai seorang ibu atau bapa, perlunya untuk memberikan penjelasan yang logik, tepat dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Namun, pada tahap ini ibu bapa perlu bijak dalam memberikan dan memilih pengukuhan sama ada ganjaran atau hukuman kepada anak-anak. Saya mengambil contoh solat, pada usia 7 tahun, kanak-kanak perlulah disuruh untuk mendirikan solat. Jadi, apabila dia berjaya melaksanakan kewajipan itu, ibu bapa perlu memberi ganjaran dalam bentuk pujian sebagai satu sokongan supaya kanak-kanak berterusan dalam melakukan perkara yang baik. Manakala, apabila kanak-kanak menginjak usia 10 tahun, tapi dia meninggalkan solat, maka ibu bapa boleh memberi hukuman dengan memukulnya sebagai satu cara mendidik, namun harus diterangkan mengapa dia dihukum sebegitu. 

3. Peringkat persahabatan (usia 7 tahun ketiga)
Pada peringkat ini pula, ibu bapa berperanan menjadi sahabat kepada anak-anak, sentiasa berdamping untuk berkongsi masalah atau idea dan bersedia mendengar luahan perasaannya. Pada peringkat usia remaja ini, anak-anak mengalami satu krisis identiti, keliru dalam membina imej diri akibat pengaruh persekitarannya, jadi ibu bapalah yang berperanan merasionalkan tindakan dan pemikiran mereka. Anak-anak tidak digalakkan untuk selalu dimarahi, dibebel apatah lagi diherdik kerana pada usia ini mereka sudah sedia tahu tentang dosa dan pahala, baik dan buruk, cumanya mereka memerlukan bimbingan untuk merasionalkannya. Pada tahap ini, ibu bapa perlu SABAR dan terus BERSABAR menghadapi karenah anak-anak yang mungkin tidak diduga. 

Dan yang paling utama, DOA sebagai SENJATA orang MUKMIN :)

Wallahua'lam

*Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat dan peringatan kepada diri dan semua.. dapat disimpulkan di sini bahawa penting nya proses tarbiyyah (pendidikan) ini untuk anak-anak sedari awal usia hinggalah mereka menginjak remaja. Kefahaman dan pengetahuan tentang asas pendidikan ini menjadi satu garis panduan dalam membentuk proses tarbiyyah terbaik untuk anak-anak kelak, insyaAllah.

Sekadar di sini dahulu, wassalam :)

Friday

.:Minggu ke-6 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Alhamdulillah, permulaan hari yang ceria dan lebih bersemangat, berbanding minggu lalu :).

Kuliah minggu ini berkenaan 'Managing and Developing a Team'. Apa yang saya perolehi daripada kuliah kali ini adalah berkaitan penubuhan sebuah pasukan yang bernaung di bawah bumbung yang sama memerlukan penyusunan hierarki dan struktur organisasi serta komitmen majikan dan kakitangan di dalamnya. Perkara-perkara ini menjadi prioriti dalam membina sebuah pasukan yang lebih sistematik pengurusannya.

Dalam membincangkan pengurusan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak sama ada Tadika atau Taska atau apa sahaja pusat penjagaan kanak-kanak, seorang pengurus perlu menitik beratkan sistem hierarki sesebuah organisasi. Hal ini termasuklah dalam bidang atau cabang kerja yang dilakukan oleh setiap kakitangan terlibat. Pengkhususan kerja bagi jawatan tertentu ini akan melicinkan perkembangan perusahaan yang dijalankan. Selain itu, untuk mewujudkan sesebuah perusahaan pusat penjagaan ini, struktur organisasi perlulah dirancang dan direka bentuk meliputi plan tindakan, matlamat utama, peraturan dan polisi, hak dan tanggungjawab kakitangan serta tahap pengurusan sama ada peringkat atasan atau bawahan. Komitmen majikan dan kakitangan pula melibatkan bagaimana individu-individu di dalam sesebuah perusahaan berinteraksi dan membina hubungan interpersonal. Hal ini diwujudkan melalui satu budaya yang dibentuk dan mampu diterima umum. Selain itu, interaksi sosial yang positif juga mampu membina semangat kerja dalam pasukan serta mewujudkan komunikasi terbuka dan berkesan dalam kalangan ahli perusahaan sama ada pihak atasan mahupun bawahan.

********************
Rentetan daripada kuliah ini, pensyarah meminta kami menjalankan perbincangan dalam kumpulan terhadap tugasan kedua kami dengan membina satu carta organisasi (hierarki) perusahaan yang ingin kami jalankan. Hasil perbincangan ini kami telah merangka satu struktur organisasi yang bermula dengan Pengarah/Pengetua, Lembaga Pengarah, Penyelia Tadika, Penyelia Transit, guru-guru untuk kelas kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, serta dibantu oleh pembantu guru dan penjaga-penjaga bagi kanak-kanak transit. Terdapat juga kakitangan sokongan yang melibatkan tukang masak dan tukang cuci. Kami juga telah membuat draf tugasan bagi setiap bidang kerja/jawatan yang dipegang. Kami juga sepakat membuat perancangan jangka masa pendek bagi pengelolaan di awal perusahaan, di mana terdapat beberapa bidang tugas yang perlu diambil oleh kakitangan yang sama disebabkan kekurangan ahli sebelum kami bergerak mencari pekerja baru. Kami juga telah merancang untuk mengadakan temuduga bagi pengambilan pekerja baru berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

*Hasil perbincangan ini, saya berpuas hati dengan idea dan pandangan rakan-rakan, banyak benda baru yang saya pelajari di sini. Hal ini semua menjadi satu pengalaman dan pengetahuan baru untuk saya. Secara jujurnya, dalam membincangkan skop bidang tugasan setiap kakitangan, saya akui berlaku sedikit kesamaran atau kekeliruan yang berlaku di pihak saya, namun begitu, penjelasan daripada rakan-rakan sekumpulan serta pensyarah membantu mengatasi masalah ini, alhamdulillah. Terima kasih buat rakan-rakan, KAK NILAM, TIMAH, KILLA, TIM dan pensyarah PUAN PUTERI :)

~Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan~

Sekian, sampai di sini dulu, wassalam.