Thursday

.:Minggu ke-9 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Senyum :) Moga-moga semua sihat hendaknya, aminn insyaAllah.. Melangkah lagi ke minggu baru... minggu kesembilan kuliah. Tak banyak dah masa yang ada, berbaki cuma 5 minggu ? Minggu-minggu akhir yang getir, rata-rata antara kita sedang bertungkus lumus menyiapkan tugasan, perbentangan serta menghadapi kuiz-kuiz midterm. Moga-moga semuanya dihadapi dengan tenang, berlapang dada dan dilaksanakan dengan sehabis baik, insyaAllah :) (Penguat semangat untuk diri sendiri juga!)

***********************************************************

Jom kongsi ilmu lagi :)

Apa ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru prasekolah ?  
  1. Memahami keupayaan kanak-kanak : Setiap kanak-kanak dilahirkan dengan keupayaan yang berbeza meskipun berada pada usia yang sama dengan rakan sebayanya. Kefahaman guru tentang tahap keupayaan kanak-kanak ini akan menghasilkan variasi pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian.
  2. Memahami aras pemikiran kanak-kanak : Secara semulajadinya, peringkat pemikiran kanak-kanak adalah bermula daripada sesuatu benda atau perkara yang konkrit atau maujud yang berada disekelilingnya. Proses ini akan bercambah dari masa ke semasa dan guru harus peka terhadap alat/bahan bantu mengajar, sumber dan komunikasi yang digunakan semasa mengajar dan berinteraksi dengan mereka. 
  3. Memahami kelangsangan kanak-kanak : Untuk sesetengah situasi, kanak-kanak akan mempamerkan kelangsangannya sama secara fizikal atau psikologi. Mereka cenderung bertingkah laku tidak sepatutnya atas sebab keperluan-keperluan yang tidak difahami dan tidak dipenuhi apatah lagi mereka tidak mendapat intervensi awal daripada orang dewasa (guru) dalam menangani kelangsangan mereka.
  4. Memahami pendekatan belajar : Hal ini sangat penting dalam penyampaian pengajaran di dalam kelas. Kanak-kanak adalah golongan yang mempunyai tumpuan yang sangat singkat dan memerlukan pendekatan yang menarik serta tidak membosankan mereka. Antara pendekatan terbaik adalah 'belajar sambil bermain'.
  5. Memahami perasaan ingin tahu kanak-kanak : Guru tidak seharusnya mudah melenting atau marah terhadap keinginan (perasaan ingin tahu) kanak-kanak malahan mereka perlu diberi peluang mencuba tetapi perlu dibimbing serta dibawah kawalan guru. Apa sahaja yang ada disekeliling mereka, cenderung untuk diterokai. Sekiranya minat dan keinginan mereka disekat, kanak-kanak akan hilang keyakinan diri serta membantutkan proses perkembangan yang sihat.
  6. Penyabar dan Penyayang : Guru perlu mempunyai sifat sabar yang tinggi dalam melayani karenah dan tingkah laku kanak-kanak yang pelbagai. Sifat penyayang juga harus disemai dalam diri untuk melahirkan keikhlasan dalam mengasuh dan mendidik anak-anak kecil ini.
  7. Fleksibel : Seorang guru seharusnya menjadi seorang yang fleksibel dalam mengurus tingkah laku kanak-kanak, serta bijak dalam mengaplikasi pelbagai cara mengajar (pendekatan, kaedah dan teknik) serta tidak bersifat rigid di atas apa yang dirancang. Guru seharusnya bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan di dalam kelas yang memerlukan tindakan spontan. Untuk sesetengah situasi guru perlu bertegas dan sesetengah situasi guru perlu mempamerkan kasih sayang. Adakalanya juga guru perlu menjadi pendengar yang terbaik, mempunyai sifat empati terhadap masalah kanak-kanak serta berusaha melakukan yang terbaik untuk anak didiknya.
  8. Bijak berkomunikasi : Komunikasi merupakan salah satu medium terpenting yang menghubungkan guru dan kanak-kanak. Komunikasi yang berkesan menggalakkan persekitaran yang sihat dimana wujudnya budaya saling hormat-menghormati, arahan mudah diterima, pengajaran dan pembelajaran mudah diperoleh serta menjadi satu contoh ikutan kanak-kanak. Pentingnya di sini penggunaan bahasa yang mudah difahami, sopan serta bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak
  9. Konsisten : Sikap ini perlu ada dalam diri seorang guru meskipun berhadapan dengan masalah peribadi, dimana guru tidak boleh melepaskan serta mempamerkan rasa sedih dan marah kepada kanak-kanak. Hal ini tidak boleh dicampur aduk kerana ianya akan menjejaskan mutu pengajaran yang disampaikan disamping kanak-kanak yang menjadi mangsa. Sekiranya guru bijak dalam mengurus emosi, apa sekalipun situasi yang dihadapi akan dihadapi dengan diri yang konsisten seolah-olah tidak berlaku apa-apa.
  10. Menyedari hakikat tugas guru bukan sekadar mengajar tapi juga mendidik. 
Wallahua'lam.
Ini sekadar apa yang terlintas diminda disamping dipetik daripada beberapa sumber pembacaan. Mungkin pensyarah atau sahabat-sahabat semua boleh menambah lagi apa yang tertinggal dan terlepas pandang.

Sekian, wassalam :)

No comments: