Thursday

.:Minggu ke-8 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Salam kasih sayang untuk semua, apa khabar semuanya ? Moga-moga dalam lindungan Allah sentiasa :) aminn, insyaAllah. Melewati minggu kelapan kuliah di semester 6, pantas masa berlalu, terfikir sejenak, apa yang dah kita perolehi sepanjang tempoh ini ? Moga-moga masih diberi kesempatan ruang, masa untuk memperbaiki kesilapan, untuk membuat anjakan paradigma, untuk berhijrah dalam perjuangan menuntut ilmu, sebab bukan senang nak senang kan ? Semuanya memerlukan pengorbanan masa, tenaga (usaha) dan lain-lain. Apa yang PENTING ? JANGAN mudah MENGALAH!

*************************************************

Disini ingin saya kongsikan sedikit ilmu yang saya telah baca, berkaitan 'memahami masalah tingkah laku kanak-kanak'. Setiap individu dilahirkan dengan pelbagai cabaran dari segi fizikal dan psikologikal yang cenderung menyebabkan berlakunya gangguan emosi dan tingkah laku. Kita sering melihat dan berhadapan dengan situasi kanak-kanak yang pelbagai ragam dan tingkah laku, sehinggakan kadang kala kita kebuntuan idea untuk meladeni tingkah laku mereka. Dimana silapnya ? Peranan siapakah dalam memahami masalah tingkah laku kanak-kanak ini? Ya.. orang dewasa.. kitalah golongan yang terlebih dahulu perlu memahami tingkah laku kanak-kanak. Hal ini bertujuan sebagai satu intervensi awal dalam menangani masalah tingkah laku kanak-kanak. Sekiranya pengesanan awal, penjagaan, pemulihan dan kawalan dibuat oleh orang dewasa terhadap golongan kanak-kanak bermasalah ini, impaknya sangat besar terhadap diri individu itu sendiri (kanak-kanak), ibu bapa, guru, rakan sebaya, masyarakat, agama dan Negara. Pengesanan dan intervensi awal ini dianggap penting untuk membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa supaya perkembangan yang sihat dapat diperoleh. Perkembangan yang sihat ini dapat membentuk kesejahteraan mental yang baik untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan

Tingkahlaku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat,tidak kira di dalam kehidupan
bermasyarakat atau termasuk sekolah.Berdasarkan dari kajian dan pemerhatian oleh pakar psikologi, didapati tingkah laku bermasalah ini timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini menyebabkan berlakunya gangguan emosi dan aktiviti kehidupan individu serta seterusnya mengganggu kestabilan dan keharmonian persekitarannya.Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah.

Di Malaysia, 13 peratus atau 130 000 orang kanak-kanak dan remaja didapati mengalami masalah tingkah laku dan emosi (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005). Antara sebab yang menyumbang kepada tingkah laku bermasalah termasuklah tekanan dalam keluarga, teknik keibubapaan yang kurang sesuai, keadaan persekitaran, dan kurangnya ilmu pengetahuan untuk menanganinya.

Fields dan Boesser (1994) telah menghuraikan beberapa keperluan kanak-kanak yang akan menyebabkan mereka menunjukkan tingkahlaku bermasalah sekiranya tidak dipenuhi. Antaranya ialah:

1. Privasi-Kadangkala kanak-kanak inginkan ruang atau kebebasan untuk menyendiri. Contohnya, kanak-kanak ingin bermain atau membaca bersendirian.

2. Kuasa • Kanak-kanak juga inginkan kuasa untuk menentukan dirinya sendiri. Mereka juga inginkan kebebasan. Contohnya, kanak-kanak ingin memilih sendiri pakaian yang ingin dipakai semasa bermain.

3. Memiliki barang peribadi • Kanak-kanak ingin memiliki sesuatu benda. Mereka tidak mahu berkongsi barang yang dianggap milik peribadi seperti kasut dan permainan.

4. Perhatian • Kanak-kanak inginkan perhatian. Selalunya, mereka akan menangis supaya dapat memberitahu orang lain tentang keperluan mereka itu.

5. Kejayaan dan cabaran • Kanak-kanak ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka meneroka dunia dan persekitaran disebabkan perasaan ingin tahu. Kanak-kanak akan mencuba sesuatu tingkahlaku untuk melihat kesan daripada tingkahlaku tersebut.

6. Keselamatan • Keperluan keselamatan yang ingin diperlukan oleh kanak-kanak bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosional. Melalui interaksi, kanak-kanak belajar untuk menghargai dan menerima dirinya sendiri dan orang lain.

7. Kasih sayang dan penerimaan • Kanak-kanak ingin disayangi dan diterima seadanya oleh orang lain. Apabila kanak-kanak merasakan diri mereka terbiar, mereka akan merasa rendah diri dan kendiri negatif akan terbentuk.

Bagaimana untuk mengenali ciri-ciri kanak-kanak bermasalah ?

Kebanyakkannya akan mengalami gangguan daripada aspek berikut:

  1. Melalui interaksi sosial - sama ada dengan rakan sebaya, guru atau ibu bapa.
  2. Komunikasi ( lisan dan bukan lisan) - sukar untuk meluahkan keinginan sendiri.
  3. Minat dan aktiviti - suka membuat gerakan yang berulang-ulang yang aneh.
  4. Masalah dalam aktiviti motor/ fizikal - menjadi terlalu aktif atau terlalu lembap.
Lalu, bagaimana pula kita mengatasi masalah tingkah laku kanak-kanak ini ?  
  1. Belajar Sambil Bermain - fitrah kanak-kanak sukakan sesuatu yang menghiburkan, apabila elemen ini diterapkan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran, kanak-kanak mudah mengikuti dan berasa selesa disamping tidak mudah bosan.
  2. Main Peranan - teknik ini melibatkan penglibatan aktif kanak-kanak dimana mereke diberi peluang untuk bergerak dan berinteraksi dengan rakan sebaya.
  3. Kaedah dan Teknik Pemudahcaraan - teknik ini melibatkan bimbingan yang diberi oleh orang dewasa untuk kanak-kanak bertingkah laku baik, dimana guru cuba menjelaskan, menunjukkan sesuatu tingkah laku itu baik atau tidak. 
  4. Tunjuk Cara (Demonstrasi) - orang dewasa terlebih dahulu menjadi 'role model' dalam menunjukkan tingkah laku yang baik untuk ditonjolkan kepada kanak-kanak. Hal ini kerana, kanak-kanak mudah meniru tingkah laku sama ada baik atau tidak baik melalui persekitarannya.
  5. Peneguhan Positif - teknik ini melibatkan unsur ganjaran dalam bentuk senyuman, pujian, sokongan, hadiah yang diberikan kepada kanak-kanak sekiranya mereka menunjukkan tingkah laku yang baik.
  6. Peneguhan Negatif - teknik ini berbentuk hukuman yang diberi kepada kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku bermasalah seperti pengasingan untuk menjadi pengajaran kepada mereka bahawa tingkah laku yang dilakukan itu tidak disukai.
Sekian, untuk kali ini, moga-moga bermanfaat untuk semua :) have a nice day!
wassalam

No comments: