Thursday

.:Minggu ke-9 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Menangani masalah tingkah laku agresif kanak-kanak ?

Kita sering mendengar keluhan orang dewasa tidak kira ibu bapa mahupun guru terhadap kanak-kanak agresif :
"Nakalnya budak ni..."
"Degil !"
"Susahnya nak ajar budak ni.."

dan macam-macam lagi keluhan.

Ya, mengendalikan kanak-kanak agresif bukanlah sesuatu perkara yang mudah, tapi insyaAllah masih ada cara dan pendekatannya, yang boleh diaplikasi selaku guru mahupun ibu bapa. Pemasalahan kanak-kanak agresif ini dibimbangi mengganggu suasana persekitaran terutamanya di prasekolah sehingga mengganggu sesi dan proses pembelajaran di dalam kelas disamping mengganggu rakan-rakannya yang lain. Antaranya kaedah-kaedah yang boleh digunakan dalam menangani kanak-kanak agresif termasuklah :
  1. Teknik dorongan (reinforcement) :
    Teknik ini menekankan kosep motivasi yang diberikan kepada kanak-kanak melalui ganjaran seperti pujian, makanan, dan perhatian. Teknik ini dikatakan lebih bersesuaian dengan jiwa dan sikap kanak-kanak kerana mereka adalah golongan yang mudah dipujuk. Namun begitu dorongan ini juga boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu dorongan positif dan dorongan negatif. Dorongan positif merujuk kepada dorongan berbentuk pemberian sesuatu kegembiraan. Contohnya, kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku yang baik harus diberi pujian secara terus dihadapan kanak-kanak agresif supaya mereka terdorong untuk turut sama bertingkah laku baik. Manakala dorongan negatif pula berbentuk pemindahan sesuatu kegembiraan. Contohnya, kanak-kanak yang berlakuan agresif akan didenda sekiranya tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di dalam seperti tidak bermain dengan rakan-rakannya sekiranya mereka berlari-lari di dalam kelas. Dorongan juga dikategorikan sebagai penghargaan, kasih sayang dan janji yang boleh diguna pakai dalam menangani masalah tingkah laku agresif ini.
  2. Pengabaian (Ignoring) :
    Sepeti yang kita ketahui, kanak-kanak adalah golongan yang mengambil perhatian daripada orang disekelilingnya dengan menunjukkan tingkah laku tertentu. Bagi mereka, tingkah laku ini akan mendapat perhatian meskipun sesuatu tingkah laku itu bukanlah tingkah laku yang baik. Oleh itu, ibu bapa atau guru boleh mengabaikan tingkah laku ini bagi mengelakkan kanak-kanak mengulangi tingkah laku ini serta menyedari bahawa sesuatu tingkah laku yang dipamerkan itu tidak disukai. Namun begitu, teknik ini juga dibahagikan kepada dua situasi iaitu, apabila kanak-kanak menunjukkan perlakuan agresif, orang dewasa bertindak mengabaikan dan tidak menghiraukannya bagi mengelakkan gangguan dalam sesuatu suasana. Satu situasi lagi pula, apabila kanak-kanak melakukan sesuatu kesalahan yang tidak disengajakan, hal ini perlu diabaikan. Contohnya, apabila seorang kanak-kanak ingin membantu ibunya mengangkat cawan ke dapur, tetapi berlaku kemalangan yang menyebabkan cawan itu pecah, jadi, hal ini perlu diabaikan kerana ia merupakan satu kesalahan yang tidak disengajakan.
  3. Hukuman (Punishment) :
    Hukuman adalah satu bentuk jalan penyelesaian terakhir yang boleh digunakan dalam menangani masalah kanak-kanak agresif ini. Ia tidak tertumpu semata-mata kepada hukuman fizikal sahaja yang boleh mendatangkan kesan kesakitan dan gangguan emosi, tetapi teknik ini juga boleh dilakukan dalam pelbagai cara mengikut kreativiti dan kemahiran psikologi yang bersesuaian. Contohnya, guru atau ibu bapa hanya menggunakan isyarat mata dalam bentuk jelingan sebagai hukuman untuk memberitahu bahawa perlakuan agresif itu tidak disenangi dan tidak disukai. Selain itu, hukuman ini juga boleh dilakukan dengan ugutan. Sebagai contoh, guru mengugut kanak-kanak untuk tidak dibenarkan pulang awal sekiranya tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberikan akibat perlakuan agresifnya di dalam kelas. Hal ini akan membuatkan kanak-kanak agresif mengubah tingkah lakunya dengan menyiapkan tugasan yang diberikan dengan segera untuk dapat pulang awal ke rumah.  
Dan... lain-lain kaedah lagi. Saya percaya bahawa, masih banyak lagi kaedah-kaedah lain yang boleh diguna pakai dalam menangani masalah tingkah laku agresif kanak-kanak ini. Wallahua'lam. Sekadar ini sahaja untuk kali ini. wassalam. :) 

No comments: