Friday

.:Minggu ke-6 (Bahagian 1):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Alhamdulillah, permulaan hari yang ceria dan lebih bersemangat, berbanding minggu lalu :).

Kuliah minggu ini berkenaan 'Managing and Developing a Team'. Apa yang saya perolehi daripada kuliah kali ini adalah berkaitan penubuhan sebuah pasukan yang bernaung di bawah bumbung yang sama memerlukan penyusunan hierarki dan struktur organisasi serta komitmen majikan dan kakitangan di dalamnya. Perkara-perkara ini menjadi prioriti dalam membina sebuah pasukan yang lebih sistematik pengurusannya.

Dalam membincangkan pengurusan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak sama ada Tadika atau Taska atau apa sahaja pusat penjagaan kanak-kanak, seorang pengurus perlu menitik beratkan sistem hierarki sesebuah organisasi. Hal ini termasuklah dalam bidang atau cabang kerja yang dilakukan oleh setiap kakitangan terlibat. Pengkhususan kerja bagi jawatan tertentu ini akan melicinkan perkembangan perusahaan yang dijalankan. Selain itu, untuk mewujudkan sesebuah perusahaan pusat penjagaan ini, struktur organisasi perlulah dirancang dan direka bentuk meliputi plan tindakan, matlamat utama, peraturan dan polisi, hak dan tanggungjawab kakitangan serta tahap pengurusan sama ada peringkat atasan atau bawahan. Komitmen majikan dan kakitangan pula melibatkan bagaimana individu-individu di dalam sesebuah perusahaan berinteraksi dan membina hubungan interpersonal. Hal ini diwujudkan melalui satu budaya yang dibentuk dan mampu diterima umum. Selain itu, interaksi sosial yang positif juga mampu membina semangat kerja dalam pasukan serta mewujudkan komunikasi terbuka dan berkesan dalam kalangan ahli perusahaan sama ada pihak atasan mahupun bawahan.

********************
Rentetan daripada kuliah ini, pensyarah meminta kami menjalankan perbincangan dalam kumpulan terhadap tugasan kedua kami dengan membina satu carta organisasi (hierarki) perusahaan yang ingin kami jalankan. Hasil perbincangan ini kami telah merangka satu struktur organisasi yang bermula dengan Pengarah/Pengetua, Lembaga Pengarah, Penyelia Tadika, Penyelia Transit, guru-guru untuk kelas kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, serta dibantu oleh pembantu guru dan penjaga-penjaga bagi kanak-kanak transit. Terdapat juga kakitangan sokongan yang melibatkan tukang masak dan tukang cuci. Kami juga telah membuat draf tugasan bagi setiap bidang kerja/jawatan yang dipegang. Kami juga sepakat membuat perancangan jangka masa pendek bagi pengelolaan di awal perusahaan, di mana terdapat beberapa bidang tugas yang perlu diambil oleh kakitangan yang sama disebabkan kekurangan ahli sebelum kami bergerak mencari pekerja baru. Kami juga telah merancang untuk mengadakan temuduga bagi pengambilan pekerja baru berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

*Hasil perbincangan ini, saya berpuas hati dengan idea dan pandangan rakan-rakan, banyak benda baru yang saya pelajari di sini. Hal ini semua menjadi satu pengalaman dan pengetahuan baru untuk saya. Secara jujurnya, dalam membincangkan skop bidang tugasan setiap kakitangan, saya akui berlaku sedikit kesamaran atau kekeliruan yang berlaku di pihak saya, namun begitu, penjelasan daripada rakan-rakan sekumpulan serta pensyarah membantu mengatasi masalah ini, alhamdulillah. Terima kasih buat rakan-rakan, KAK NILAM, TIMAH, KILLA, TIM dan pensyarah PUAN PUTERI :)

~Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan~

Sekian, sampai di sini dulu, wassalam.


No comments: