Wednesday

.:Minggu ke-4 (Bahagian 1):.

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang~
~Assalamu'alaikum wrh. wbt~


Alhamdulillah wa syukrulillah.. pada minggu ini, untuk permulaan kelas, terasa bersemangat melihat senyuman ceria Puan Puteri :) sedikit perkenalan tentang tugasan-tugasan untuk kursus ini. Terdapat tiga tugasan yang diberikan iaitu :

1. Reflective Writting
Untuk tugasan individu ini, berdasarkan penerangan pensyarah, ia lebih menjurus kepada bentuk penulisan diari yang perlu ditulis sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Selain itu, ia lebih menggalakkan penulisan yang berkait rapat dengan kursus Pengurusan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini sendiri. Disamping itu, penulisan ini juga boleh diselitkan dengan isu-isu semasa yang berlaku disekeliling kita.

2. Small Project
Tugasan ini pula dijalankan secara berkumpulan dengan mewujudkan satu propasal tentang penubuhan taska atau tadika yang dirancang oleh ahli kumpulan bermula daripada sifar. Segala-galanya perlu diatur dengan perancangan yang baik tidak kiralah sama ada dalam aspek pengurusan, pentadbiran, kurikulum, kewangan, persekitaran dan lain-lain.

3. Individual Report
Tugasan terakhir ini pula merupakan kesinambungan daripada tugasan kedua tadi (Small Project), tetapi dijalankan secara individu berhubung dengan propasal penubuhan taska atau tadika yang telah dibuat. Penulisan ini lebih menjurus kepada pendapat peribadi kita sama ada sokongan, idea mahupun komen terhadap tugasan kedua.

Secara keseluruhannya, saya mendapati tugasan-tugasan ini sangat bertepatan dengan kursus Pengurusan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak kerana ia lebih berpusatkan pelajar. Pelajar diberi peluang untuk menjana, mengembang dan meneroka idea-idea dalam memantapkan ilmu dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Hal ini juga adalah salah satu langkah penting yang perlu diambil oleh pelajar untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang yang diceburi. Alhamdulillah, tugasan-tugasan ini tampak menarik dan mencabar. Persediaan daripada aspek pembacaan, cakna terhadap perkembangan isu-isu semasa merupakan faktor penting yang perlu ada bagi seorang bakal pendidik. Mudah-mudahan tugasan-tugasan ini boleh dilaksanakan dengan jayanya dengan bantuan dan bimbingan suami, ibu bapa, keluarga, pensyarah dan rakan-rakan.

********************



Sesi pembelajaran pada minggu ini, bermula dengan topik, 'I am a manager ?'. Berdasarkan kuliah hari ini, saya sedar bukan senang untuk menjadi seorang pengurus, banyak perkara yang perlu diambil kira, besar tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan, serta tanpa ilmu yang mantap, kita tidak mampu untuk menjadi pengurus yang baik. Seorang pengurus tadika atau taska yang baik perlulah mempunyai pengurusan yang baik, arahan yang jelas, kurikulum yang bersesuaian, sokongan kakitangan, komunikasi yang baik, kewangan yang stabil dan mencukupi serta persekitaran yang selamat. Sedikit sebanyak, pendedahan terhadap topik ini membuka mata saya tentang persediaan yang perlu diambil sekiranya saya ingin membuka cawangan tadika atau taska sendiri kelak.

Dalam satu pembacaan saya, saya dapati pengurus dan pemimpin merupakan satu tugas atau amanah yang penting yang dipertanggungjawab oleh Allah Ta'ala kepada hamba-hambaNya dan akan dipersoal pada hari kelak. Sebagai muslim, kita harus menyedari hakikat itu apabila kita sendiri sudah meletakkan diri kita sebagai seorang pengurus atau pemimpin yang menerajui sesebuah institusi kecil mahupun besar. Berikut firman Allah yang berbunyi :

Dalam surah Al Hajj ayat 40-41, Allah berfirman:

"Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang munkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan. "

Wallahua'lam. Sekian sahaja untuk kali ini, mohon maaf salah dan silap ye :)
wassalam

No comments: