Thursday

.:Minggu ke-5 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Salam ceria semua :)
Moga-moga kita semua masih mampu tersenyum menghadapi apa jua situasi kehidupan ini, insyaAllah!

Minggu ini, saya terasa sedikit teruji, mungkin atas kelemahan jiwa ini saat diuji dengan sesuatu yang tak terduga, NAMUN perlu positifkan diri dengan kata-kata ALLAH SELALU ADA, InsyaAllah segala yang datang daripadaNya pasti ada hikmah meskipun kadangkala kita sendiri tidak mampu untuk menyingkap hikmah tersembunyi, wallahua'lam.

********************
Baru-baru ini, sewaktu mencari bahan-bahan untuk tugasan kursus tertentu, saya terjumpa beberapa bahan bacaan (artikel) yang serasanya bersesuaian dan bertepatan dengan bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Dalam post yang lepas, saya ada membincangkan isu tentang kezaliman, ketidakadilan yang berlaku terhadap kanak-kanak
masa kini. Jadi, ingin saya kongsikan sedikit ilmu, moga-moga menjadi renungan dan iktibar kita bersama.

'Peranan Keibubapaan : Gaya Asuhan/Didikan Terbaik ?'

"Mengapa peranan ibu bapa dikatakan terpenting dan utama dalam pendidikan seseorang anak ? "

Ya, pendidikan seorang anak sememangnya bermula di rumah iaitu dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jadi ibu bapa lah golongan yang akan memainkan peranan penting dalam institusi ini tidak kiralah dalam aspek apa sekalipun sama ada jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial (JERIS). Apa jua perlakuan, perkataan pertama anak-anak di'cedok' daripada pendidikan di rumahnya. Jadi, tidak hairanlah jika kita katakan sekiranya contoh baik yang diterapkan oleh orang dewasa (ibu bapa dan ahli keluarga), maka baiklah jugalah amalan dalam tingkah laku dan pertuturannya (kanak-kanak).

"Namun, bagaimana untuk kita merealisasikan konsep peranan keibubapaan dalam gaya asuhan yang efektif ini ?"

Ibu bapa merupakan sebaik-baik contoh kepada anak-anak. Ibu bapa mestilah mempunyai ilmu pengetahuan tentang gaya asuhan atau didikan kanak-kanak yang fleksibel tetapi bersesuaian, seterusnya peka terhadap corak perkembangan kanak-kanak sejak di awal usia lagi, strategi pendidikan yang bersesuaian, strategi pengubah suaian tingkah laku kanak-kanak dan seterusnya pengetahuan ini dijadikan sebagai satu garis panduan dalam mempengaruhi dan mencorak perkembangan terbaik anak-anak. Hubungan yang erat diantara ibu bapa dan anak-anak juga merupakan faktor penting dalam membina perapatan, kasih sayang dan keserasian untuk berkongsi apa jua cerita, idea mahupun pandangan tidak kiralah sama ada di pihak kanak-kanak mahupun ibu bapa itu sendiri. Menerusi pembacaan saya, kanak-kanak yang lebih rapat dengan ibu bapanya serta mendapat kasih sayang dan perhatian yang sepenuhnya akan menunjukkan tingkah laku yang baik berbanding yang sebaliknya (mereka lebih suka memberontak, cepat marah, sensitif dan lain-lain sikap yang negatif yang ditonjolkan).

Sedikit perkongsian tentang gaya asuhan/didikan oleh ibu bapa;

1. Autokratik
Ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan ini lebih mengamalkan konsep komunikasi satu hala di mana autoriti terletak sepenuhnya kepada ibu bapa. Anak-anak sekadar mendengar dan dikehendaki mematuhi setiap arahan yang diberikan. Gaya asuhan ini lebih bersifat rigid tanpa mengambil kira hak dan perasaaan kanak-kanak. Di sini, wujudnya, implikasi negatif berikutan gaya asuhan ini iaitu kanak-kanak lebih mudah memberontak, menjadi pendiam serta terbantut perkembangan dan potensi dirinya.

2. Demokratik
Gaya asuhan ini adalah lebih fleksibel kerana ia mengamalkan konsep dua hala, yang mana ia memberi peluang kanak-kanak dan ibu bapa saling berinteraksi serta mewujudkan perhubungan yang harmoni dan sihat dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kanak-kanak juga bebas melakukan aktiviti dan perkara yang diminati namun mendapat bimbingan dan kawalan daripada kedua-dua ibu bapanya.

3. Kontigensi
Gaya asuhan ini juga fleksibel di mana ia boleh berubah mengikut keadaan. Untuk sesuatu situasi tertentu, ibu bapa akan menggunakan autoritinya dalam penjagaan dan pendidikan anak-anak manakala dalam sesuatu situasi lain pula, kanak-kanak diberi peluang untuk bebas meneroka dunianya. Namun begitu, kadangkala wujud kepincangan di antara autoriti ibu bapa yang harus dituruti oleh kanak-kanak dalam keadaan terpaksa serta had kebebasan yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak kerana dikhuatiri akan kejadian yang tidak diingini.

*Jadi, sebagai ibu bapa atau bakal ibu mahupun bapa, gaya asuhan yang manakah menjadi panduan dan amalan kita kelak ? Jujurnya, sebagai bakal ibu (insyaAllah, dalam masa beberapa bulan lagi :)), saya melihat adanya pro dan kontra untuk setiap gaya asuhan ini. Ibu bapa perlu bijak dalam memilih dan mengaplikasinya dalam pendidikan anak-anak di rumah. Hal ini kerana, semua ini akan mempengaruhi corak perkembangan dan tingkah laku kanak-kanak yang baik serta bersesuaian dengan kehendak ibu bapa, guru, masyarakat setempat dan rakan-rakan sebayanya. InsyaAllah, saya juga dalam proses mempersiapkan diri menjadi seorang ibu yang baik dengan memantapkan ilmu keibubapaan. Terdetik di fikiran ini, bukan senang untuk menjadi ibu/bapa, meskipun secara realitinya kita tahu tentang teorinya, namun secara amalinya? Buktinya, tidak ramai ibu bapa yang berjaya dalam mendidik generasi baru masa kini, dengan masalah kepincangan akhlak dan masalah sosial yang terus berluasa. Na'uzubillahi min zalik!

Sedang anak itu merupakan amanah Allah yang bakal dipertanggungjawabkan kelak. Namun begitu, masih belum terlambat untuk kita bakal pendidik (ibu bapa dan guru) untuk mencorak generasi mendatang. Meskipun cabaran itu pasti ADA..

Teringat kata-kata saidina Ali r.a : "Didiklah anak-anakmu supaya mereka boleh hidup di zaman yang amat berlainan sekali dengan zamanmu"

wallahua'lam
wassalam

No comments: