Wednesday

.:Minggu ke-6 (Bahagian 2):.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamu'alaikum wrh. wbt.

Salam pagi :) moga-moga hari ini menjanjikan yang lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini, insyaAllah!

Alhamdulillah, pagi ini sempat berdiskusi panjang dengan suami tentang corak pendidikan anak-anak. Apa yang diusulkan oleh suami saya membuatkan saya berfikir sedalam-dalamnya, seolah-olah mendapat jawapan yang pasti.. semuanya bermula daripada TARBIYYAH :) Apa itu tarbiyyah ? Apabila kita mencapai satu tahap kefahaman, itu adalah satu nikmat, lantaran nikmat faham itulah yang akan melahirkan rasa ikhlas dalam diri dalam apa jua pekerjaan hatta sekecil-kecil tindak-tanduk dan perlakuan kita. Tarbiyyah itu merujukkan kepada penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Manakala dari segi istilah, perkataan Tarbiyyah membawa pengertian cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik. Tarbiyyah juga merangkumi semua aspek yang mana tarbiyyah ini tidak pernah melupakan ibadah tanpa amal, yang seimbang antara teori dan praktikalnya, yang mementingkan aspek ruh, jiwa dan akal. Tarbiyyah memerlukan kesabaran dan keazaman yang kuat kerana proses ini bukan sahaja memakan masa yang sedikit tetapi lama dan perlu berterusan. Jadi, tidak hairanlah jika saya katakan proses pendidkan awal kanak-kanak juga bermula daripada tarbiyyah.

Ibu bapa sebagai medan tarbiyyah anak-anak ? Tapi, bagaimana ?

Islam dan Iman menjadi asas tarbiyyah yang utama dalam pendidikan awal kanak-kanak. Islam mentarbiyyah kita untuk memahami apa itu rukun islam, mengimani keenam-enam rukuk iman, meneladani sirah perjuangan rasulullah dan sahabat, mengamalkan akhlak-akhlak yang baik serta berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan hidup kita sepanjang zaman. Iman pula menjadi benteng atau perisai yang kukuh daripada terjebaknya kita dalam gejala yang tidak sihat. 

Asas pendidikan atau tarbiyyah yang disarankan oleh rasulullah s.a.w mempunyai tiga tahap iaitu:

1. Peringkat kasih sayang (usia 7 tahun pertama)
Proses ini berlaku melalui sentuhan, belaian, susuan ibu yang menjadikan hubungan ibu atau bapa dengan anak lebih akrab. Hak anak untuk mendapat kasih sayang daripada ibu bapa pada usia ini perlu lah ditunaikan kerana di awal perkembangan dan pertumbuhan, ia sangat memberi pengaruh yang besar terhadap tingkah laku dan emosi kanak-kanak. 

2. Peringkat pembentukan (usia 7 tahun kedua)
Pada peringkat ini, ibu bapa perlu meneruskan proses tarbiyyah dalam membentuk jati diri dan identiti kanak-kanak. Pada waktu ini, ibu bapa berperanan memberitahu, menasihati, menyuruh dan menerangkan kepada kanak-kanak. Pada usia ini, kanak-kanak akan mengalami satu fasa di mana mereka cenderung untuk bertanya 'mengapa', 'bagaimana' dan 'kenapa' terhadap sesuatu perkara.

"Kenapa saya perlu memakai tudung ibu ?", "Kenapa saya perlu solat ?", "Mengapa saya tidak boleh...",

Dan bermacam-macam persoalan lain yang timbul... Sebagai seorang ibu atau bapa, perlunya untuk memberikan penjelasan yang logik, tepat dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Namun, pada tahap ini ibu bapa perlu bijak dalam memberikan dan memilih pengukuhan sama ada ganjaran atau hukuman kepada anak-anak. Saya mengambil contoh solat, pada usia 7 tahun, kanak-kanak perlulah disuruh untuk mendirikan solat. Jadi, apabila dia berjaya melaksanakan kewajipan itu, ibu bapa perlu memberi ganjaran dalam bentuk pujian sebagai satu sokongan supaya kanak-kanak berterusan dalam melakukan perkara yang baik. Manakala, apabila kanak-kanak menginjak usia 10 tahun, tapi dia meninggalkan solat, maka ibu bapa boleh memberi hukuman dengan memukulnya sebagai satu cara mendidik, namun harus diterangkan mengapa dia dihukum sebegitu. 

3. Peringkat persahabatan (usia 7 tahun ketiga)
Pada peringkat ini pula, ibu bapa berperanan menjadi sahabat kepada anak-anak, sentiasa berdamping untuk berkongsi masalah atau idea dan bersedia mendengar luahan perasaannya. Pada peringkat usia remaja ini, anak-anak mengalami satu krisis identiti, keliru dalam membina imej diri akibat pengaruh persekitarannya, jadi ibu bapalah yang berperanan merasionalkan tindakan dan pemikiran mereka. Anak-anak tidak digalakkan untuk selalu dimarahi, dibebel apatah lagi diherdik kerana pada usia ini mereka sudah sedia tahu tentang dosa dan pahala, baik dan buruk, cumanya mereka memerlukan bimbingan untuk merasionalkannya. Pada tahap ini, ibu bapa perlu SABAR dan terus BERSABAR menghadapi karenah anak-anak yang mungkin tidak diduga. 

Dan yang paling utama, DOA sebagai SENJATA orang MUKMIN :)

Wallahua'lam

*Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat dan peringatan kepada diri dan semua.. dapat disimpulkan di sini bahawa penting nya proses tarbiyyah (pendidikan) ini untuk anak-anak sedari awal usia hinggalah mereka menginjak remaja. Kefahaman dan pengetahuan tentang asas pendidikan ini menjadi satu garis panduan dalam membentuk proses tarbiyyah terbaik untuk anak-anak kelak, insyaAllah.

Sekadar di sini dahulu, wassalam :)

1 comment:

mubsyirah said...

setuju sgt.. pernah seorang kawan yang telah berkeluarga dan mempunyai 4 orang anak berkongsi.. anak2 ni awal2 tu kita lebih kasih sayang.. bila umur mula 7 tahun ke atas lebih bertegas dan berdisiplin.. ketika ini Rasullullah saw berkata anak2 bila tidak solat sudah diperbolehkan memukulnya..